Nasir dipilih Ketua Pemuda Pas Terengganu yang baharu

Nasir Abdul Razak
Nasir Abdul Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nasir Abdul Razak dipilih sebagai Ketua Pemuda Pas Terengganu yang baharu, bagi sesi 2019/2021, dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Terengganu Kali Ke-50.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda Pas Terengganu sebelum ini, menggantikan Kamaruzaman Abdullah yang mengundur diri kerana melepasi had umur.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda juga diisi oleh muka baharu apabila penyandang sebelumnya, Hishamuddin Abdul Karim (Adun Tepoh) dan Hilmi Harun (Adun Manir) turut mengundur diri atas faktor yang sama.

Timbalan Ketua Pemuda yang baharu adalah Ramlan Mahmood manakala Naib Ketua dimenangi oleh Hamdi Harun.

Sementara itu, Nasir menyifatkan jawatankuasa baharu yang dipilih sebagai generasi peralihan pemuda.

“Jawatankuasa sebelum ini telah memimpin dengan cukup cemerlang. Sebagai generasi peralihan ini, fokus kita adalah membantu parti dalam bergerak mencapai kemenangan.

“Sekarang ini, fokus kita adalah ke arah mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya akan datang. Buat masa ini, kita akan kemas kini saf kepimpinan peringkat pemuda, bermula daripada cawangan, DUN dan negeri,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis perasmian muktamar itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pilihan raya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Artikel Berkaitan:

Seramai 10 ahli jawatankuasa turut dipilih, iaitu Zulkarami Salleh, Mohd Irsyad Syafiq, Amaturahman Jaafar, Mohd Zaidan Abdullah, Mohd Alghazali Abu Bakar, Mohd Syamri Razak, Yusuf Abdul Hadi, Ayub Ngah, Ridhuan Karim dan Mohd Aswadi Mohamad.

Wan Faizul Wan Abas dipilih sebagai Pengerusi Tetap, manakala timbalannya adalah Raja Arizal Raja Arif.

Seramai dua pemeriksa juga dipilih, iaitu Badarudin Ismail dan Saufi Hashim.