Peniaga Menu Rahmah boleh beli produk sayuran melalui FAMA

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Peniaga makanan yang menawarkan Menu Rahmah boleh membeli bekalan sayur-sayuran menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, pihaknya boleh mengaturkan pertemuan antara peniaga dan pembekal sayur sekali gus dapat mengurangkan kos logistik dan mengimbangi harga sayur yang meningkat di pasaran ketika ini.

"Kita (FAMA) boleh mengaturkan (urusan jual beli) antara peniaga dan pembekal sayur. Jadi, peniaga boleh berhubung terus dengan FAMA di RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) di Gopeng.

"Secara tidak langsung, peniaga yang menawarkan Menu Rahmah tidaklah berasa terbeban dengan kos pembelian produk sayur-sayuran," kataya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Pada 31 Januari lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif Menu Rahmah dan sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Noorsham berkata, pihaknya menyasarkan nilai jualan sejumlah RM250,000 bagi program JTDL di negeri ini selain turut menyasarkan kehadiran 10,500 pengunjung untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Sejumlah 28 peserta terlibat sepanjang program JTDL ini diadakan di 18 lokasi terpilih antaranya Ipoh, Tapah, Kuala Kangsar, Parit, Tanjung Malim, Pasir salak dan Teluk Intan," katanya.

Beliau berkata, program tersebut dapat memberi nilai penjimatan kepada pengguna sehingga 10 peratus berbanding harga pasaran semasa selain menyediakan ruang pasaran tambahan bagi produk agromakanan termasuk bekalan ayam dan telur kepada pengguna. - Bernama