Town Hall efisien selesaikan masalah penduduk

Kok Yew (tiga dari kiri) sempat merasa kerabu yang dipertandingkan sempena program Rapat Rakyat di Dewan Jitra, semalam.
Kok Yew (tiga dari kiri) sempat merasa kerabu yang dipertandingkan sempena program Rapat Rakyat di Dewan Jitra, semalam.
A
A
A

JITRA - Seramai 200 pemimpin setempat termasuk agensi -agensi kerajaan berdialog selama hampir dua jam dalam sesi Town Hall yang diadakan sempena program Rapat Rakyat anjuran Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), di sini.

Exco kerajaan tempatan, Tan Kok Yew berkata, sesi dialog ini merupakan suatu pentas untuk pihak masyarakat dan kepimpinan negeri duduk bersama bagi membincangkan isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh penduduk.

Menurutnya, masalah yang dikemukakan itu seterusnya akan mendapat perhatian pihak yang berkaitan untuk tindakan sewajarnya.

"Adalah menjadi fokus utama saya untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada setiap masyarakat

"Oleh itu, daripada apa yang dibangkitkan dalam sesi Town Hall tadi, saya akan pastikan permasalahan itu diambil tindakan secepat yang mungkin berdasarkan beratnya sesuatu permasalahan berkenaan," katanya pada ucapan setelah tamat sesi Town Hall di Dewan Jitra.

Tambahnya, ahli-ahli majlis juga perlu bekerja dengan lebih kuat lagi bagi memastikan aspek -aspek keselesaan, keselamatan dan keharmonian semua pihak diberi keutamaan dalam apa jua tindakan yang bakal dilaksanakan.

"Saya tak nafikan tugas MPKP dalam menjaga kebersihan serta kemudahan dalam kawasan perbandaran amatlah besar kerana meliputi sehingga ke sempadan Perlis.

"Oleh itu, saya harap kerjasama yang baik daripada agensi-agensi kerajaan di daerah ini bagi memenuhi kelompongan yang wujud.

Artikel Berkaitan:

Kok Yew (tiga dari kiri) bersama Mohd Fisol (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada individu yang bergiat aktif dalam komuniti.
Kok Yew (tiga dari kiri) bersama Mohd Fisol (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada individu yang bergiat aktif dalam komuniti.

"Masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam memberi sokongan yang terbaik kepada semua dasar dan pelaksanaan dasar yang diputuskan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Teja, Mohamad Liaqat Ali Khan Razali berharap sesi Town Hall dan program Rapat Rakyat ini dapat diadakan lagi secara berkala.

"Hanya dalam program sebegini masyarakat berpeluang untuk mendapatkan maklumat terkini tentang pembangunan dalam daerah kita.

"Sebarang isu dan masalah yang timbul di kawasan perumahan juga, kami dapat jawapan segera daripada ahli panel yang mewakili setiap agensi pada sesi Town Hall hari ini.

"Ia adalah cara sangat efisien dan memudahkan penduduk menyuarakan masalah mereka kepada pihak berwajib," katanya.

Bagi Yang Dipertua MPKP, Mohd Fisol Md Noh, ucapan terima kasih diberikan kepada semua yang terlibat dalam program Rapat Rakyat yang berlangsung selama dua hari ini.

"Dalam program ini juga kita menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Tandas Terbersih milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)dan satu kiosk penjaja kecil.

"Tiga buah tandas di daerah ini telah dinobatkan sebagai tandas terbersih iaitu, Tandas Stesen Bas PJ2, Tandas Arked Jitra dan Tandas Anjung Selera Kepala Batas.

"Semoga dengan penganugerahan ini, semua pihak akan lebih peka dan menjadi motivasi untuk menjaga kebersihan tandas awam," katanya.

Tambahnya, MPKP turut menyampaikan sumbangan Baik Pulih Rumah kepada sembilan penduduk di Taman Perumahan Awam Tanah Merah yang keseluruhannya berjumlah RM6,500.

Turut hadir, ADUN Bukit Kayu Hitam merangkap Exco kerajaan negeri, Halimaton Shaadiah Saad.