USAS tiada kaitan dengan BRM FC

Adam Adli (depan kanan) ketika hadir melancarkan jersi BRM FC Kuala Kangsar baru-baru ini. - Foto Ihsan Twitter BRM FC Kuala Kangsar
Adam Adli (depan kanan) ketika hadir melancarkan jersi BRM FC Kuala Kangsar baru-baru ini. - Foto Ihsan Twitter BRM FC Kuala Kangsar
A
A
A

KUALA KANGSAR - Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) tidak terlibat dalam sebarang penajaan sebuah pasukan Liga M3 iaitu BRM FC Kuala Kangsar yang mencetuskan isu baru-baru ini.

Pengurusan Tertinggi USAS dalam satu kenyataan mengakui pasukan bola sepak tersebut pernah menggunakan padang USAS bagi tujuan latihan sebelum ini.

Bagaimana pun kemudahan tersebut tidak lagi disewakan kepada pasukan berkenaan.

"Merujuk kepada isu berkaitan penajaan syarikat vape dalam sebuah pasukan bola sepak kedaerahan yang telah tular di dalam portal berita baru-baru ini, USAS ingin menafikan pembabitan universiti dalam isu tersebut.

"USAS juga ingin menegaskan bahawa universiti ini tidak mempunyai apa-apa bentuk kerjasama atau perjanjian dengan pasukan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas kenyataan itu lagi, pihak BRM FC Kuala Kangsar juga telah mengesahkan tentang perkara tersebut.

Pihak pengurusan tertinggi USAS bertegas, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, pihaknya sentiasa mengambil serius terhadap perkara tersebut.

"USAS sentiasa mengambil serius terhadap perkara sebegini dan tidak pernah membenarkan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang dijalankan di dalam premis universiti.

"Malah USAS sentiasa mengingatkan pelanggan yang menyewa premis universiti mengenai perkara tersebut," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, sebuah portal bola sepak tempatan mempersoalkan penajaan sebuah syarikat vape terhadap kelab tersebut kerana dianggap melanggar syarat penajaan pasukan bola sepak dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 atau tidak.

Kontroversi itu tercetus selepas logo syarikat vape berkenaan terpapar pada jersi yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim baru-baru ini.

Sementara itu, Amateur Football League (AFL) yang bertanggungjawab terhadap penganjuran Liga M3 menjelaskan pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada kelab berkenaan berhubung isu tersebut.