PPR Kota Bharu pertama tubuh Sekretariat Muafakat Komuniti

Zuraida (kiri) melihat anggaran keluasan PPR Kota Bharu di rumah contoh yang disediakan.
Zuraida (kiri) melihat anggaran keluasan PPR Kota Bharu di rumah contoh yang disediakan.
A
A
A

KOTA BHARU - Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu menjadi model pertama penubuhan Sekretariat Muafakat Komuniti untuk menjaga kebersihan, mengurus tempat dan menjana pendapatan dalam komuniti itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, Kelantan amat bertuah kerana menjadi negeri pertama pelaksanaannya, sekali gus akan menjadi contoh untuk diguna pakai di negeri-negeri lain selepas ini.

"Projek perintis bagi program ini telah dimulakan di PPR Lembah Subang 2, Selangor dan komuniti di sana berbeza dengan di sini. maka kali ini kita bawa ke Kelantan untuk tengok sejauh mana kejayaannya untuk menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Dengan adanya sekretariat ini, ia membantu untuk melatih penghuni PPR memahami syarat, disiplin dan segala peraturan yang perlu dipatuhi. Kita akan buat percubaan dan ini merupakan fasa pertama.

“Ia dikendalikan berdasarkan dasar kerajaan dan banyak kementerian yang akan terlibat dan diuruskan sendiri oleh pegawai kementerian akan melatih bagaimana penduduk di setiap PPR untuk menjadi masyarakat yang menjaga kebersihan, keselamatan dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar di sini.

Zuraida (tengah) bergambar bersama penerima PPR Kota Bharu disini.
Zuraida (tengah) bergambar bersama penerima PPR Kota Bharu disini.

Beliau hadir menyempurnakan penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu kepada 480 peserta dan perasmian Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT Dr Mary Wong Lai Lin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkembangan sekretariat ini akan dilihat dari semasa ke semasa dan ia akan diperluaskan melibatkan perumahan kos rendah lain di bawah kementerian yang sama.

Mengulas mengenai urusan pembayaran rumah tersebut, Zuraida berkata, rumah PPR itu akan ditawarkan kepada mana-mana penghuni yang mempunyai rekod pembayaran yang baik dalam tempoh lima tahun.

“Jika mereka buat pembayaran dengan baik selama lima tahun, insya-ALLAH mereka layak untuk ditawarkan pembayaran jual beli dengan kita. Manakala harga pula terpulang kepada pasaran kawasan itu.

“Untuk sewa kali ini, saya jangkakan ia tidak melebihi RM350 sebulan dan dibuat terus kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai isu jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang didakwa tersadai disebabkan kerosakan, beliau berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan pihaknya.

“Kita masih dalam siasatan lagi. Buat masa sekarang ini kita sedang kumpul maklumat dan kita tidak akan melindungi mana-mana pihak dalam perkara ini," katanya.