Gempa bumi Turkiye: Malaysia beri tumpuan khusus

Anwar menyampaikan ucapan semasa Majlis Sumbangan Dana Bencana di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan semasa Majlis Sumbangan Dana Bencana di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan khusus yang diberikan Malaysia terhadap bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria kerana ia adalah malapetaka paling teruk dalam sejarah selain tsunami di Acheh.

Beliau berkata, tumpuan khusus terhadap Turkiye adalah kerana ia banyak membantu negara ini antaranya Malaysia Airports Holdings Bhd yang mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul dengan dana besar susulan kerugian besar yang dialami akibat pandemik Covid-19.

Anwar berkata, Turkiye turut membantu dalam beberapa pembelian oleh kerajaan apabila diberikan pertimbangan yang lain daripada komersial serta memberi keistimewaan dan layanan berbeza kepada syarikat Malaysia yang melabur di negara itu.

"Saya mahu rakyat tahu itu bukan hubungan biasa. Pertama adalah sahabat serta sangat dekat dengan kita dan keadaan syarikat kita mengalami permasalahan besar dibantu luar daripada kaedah biasa," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis sumbangan dana bencana oleh syarikat swasta kepada Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri di sini hari ini.

Anwar berkata, sumbangan kepada tabung itu kini mencecah kira-kira RM25 juta dan antara penyumbang ialah Yayasan Al-Bukhary sebanyak RM10 juta, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (RM4.4 juta), Brahim's Dewina Group (RM3 juta), YTL Corp Bhd (RM2 juta) serta Sarawak (AS$200,000).

Beliau berkata, sumbangan pelbagai pihak itu mencerminkan perasaan belas ihsan dan perikemanusiaan yang begitu menebal dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Perdana Menteri yang akan berlepas ke Turkiye malam ini berkata, pada awalnya beliau keberatan kerana memadai menghantar Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan hospital medan namun setelah dihubungi Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, beliau membuat keputusan untuk ke negara itu kerana dapat membayangkan keresahan pemimpin berkenaan.

"Sebagai sahabat, saya fikir elok saya turun secara peribadi," katanya yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali.- Bernama