Sindiket kuota umrah: Reman dua suspek disambung

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua individu disambung reman tiga hari bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah.

Menurut sumber, reman kedua-dua lelaki yang juga kakitangan syarikat pelancongan itu bermula Selasa.

"Empat individu yang sebelum ini direman empat hari sejak Jumaat lalu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mereka juga perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pengarah Kanan SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan lanjutan reman terbabit untuk siasatan di Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Khamis lalu, SPRM telah menahan enam individu berusia 34 hingga 55 tahun terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan membabitkan enam syarikat menerusi operasi khas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Susulan itu, seorang lagi individu berusia 35 tahun iaitu pengarah urusan sebuah agensi pelancongan di Selangor turut ditahan pada Sabtu dan kini sedang direman empat hari sehingga Rabu.

Ini sekali gus membongkar sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisyen.