Wanita didakwa guna dokumen palsu mohon biaya Mara

Tertuduh Sarah Diana didakwa guna dokumen palsu bagi mendapatkan pembiayaan Mara bernilai RM150,000. - Foto Awani
Tertuduh Sarah Diana didakwa guna dokumen palsu bagi mendapatkan pembiayaan Mara bernilai RM150,000. - Foto Awani
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi mendapatkan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress Majlis Amanah Rakyat (MARA) bernilai RM150,000 sembilan tahun lepas.

Sarah Diana Michele Durai, 44, didakwa menggunakan surat tawaran kerja-kerja projek membersih kawasan Kem Lok Kawi atas nama syarikat miliknya, Kekal SZ Enterprise, yang palsu sebagai tulen bertarikh 21 Mac 2014.

Wanita itu didakwa mengemukakan dokumen tersebut kepada Pejabat MARA Sabah dalam daerah Kota Kinabalu yang bertujuan untuk memohon pembiayaan berkenaan yang diketahui butiran pada surat tawaran itu adalah palsu, pada 25 Mac 2014.

Sarah Diana yang kini bekerja sebagai pegawai perhubungan perniagaan di syarikat lain, didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Jason Anak Juga menetapkan 12 April depan untuk sebutan semula kes, dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap dua bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Sylvester Kuan dan Siti Mahsuri Dicky. - Bernama