Bapa dan adik Rozman pemegang saham terendah LLPM - Saksi

Rozman Isli - Foto: Bernama
Rozman Isli - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penolong pendaftar syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa, bapa dan adik lelaki bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli merupakan pemegang saham terendah dalam Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).

Adlin Shahira Mohd Roslan, 31, berkata, Isli Siput (bapa) dan Tony Noolan masing-masing mempunyai pegangan saham sebanyak 31,250 unit daripada keseluruhan tiga juta unit saham berbayar syarikat itu.

Semasa perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob, saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, maklumat terbabit diperoleh daripada dokumen `Annual Return Of A Company Having A Share Capital Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd bagi 2017 hingga 2020.

Data itu katanya, difailkan kepada SSM mengikut Seksyen 68 Akta Syarikat 2016.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman, saksi ini bersetuju bahawa, bapa dan adik lelaki pemimpin Warisan ini, masing-masing memperoleh 1.04 peratus saham dalam LLPM bagi empat tahun berturut-turut.

Sementara itu, ketika membacakan pernyataan saksi, Adlin Shahira berkata, pemegang saham tertinggi dimiliki Pengarah LLPM, Mohd Alias Abd Rahman iaitu sebanyak 1.35 juta unit.

Wanita ini berkata, Syarikat Tunas Rakyat Sdn Bhd dan DPML Corporation Berhad merupakan pemegang saham tertinggi seterusnya iaitu masing-masing 737,500 dan 200,000 unit.

"SSM membekalkan laporan tahunan itu selepas pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) memohon untuk mendapatkan maklumat termasuk pemilikan saham syarikat yang berdaftar," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abd Muntaqim Abdul Aziz.

Semasa prosiding pada Isnin, bekas Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL), Zulkurnain Ayub berkata, Rozman tidak membuat pengisytiharan bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam LLPM malah gagal memberitahu bapa dan adiknya disenaraikan sebagai pemegang saham syarikat berkenaan.

Katanya, LLPM kemudiannya diberikan kebenaran sementara sebagai pengendali operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

Rozman, 59, didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi LPL, didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat LLPM sedangkan, bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Perbicaraan bersambung 6 Mac depan.