Polis tahan pengedar, rampas 3.8kg dadah

Sebuah kereta milik suspek turut disita polis untuk siasatan lanjut. Gambar kanan: Polis menjumpai peket dan ketulan dadah disyaki heroin serta ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Sitiawan. - Foto Ihsan PDRM
Sebuah kereta milik suspek turut disita polis untuk siasatan lanjut. Gambar kanan: Polis menjumpai peket dan ketulan dadah disyaki heroin serta ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Sitiawan. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

LUMUT - Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Sitiawan pada Isnin.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sejumlah 3.8 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan ganja bernilai RM122,750 berjaya dirampas.

"Pemeriksaan polis menjumpai heroin dianggarkan seberat 3.45kg bernilai RM120,750 dan 0.44kg ganja dianggarkan bernilai RM2,000.

"Suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran sejak 2021 dan dadah dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain mempunyai lapan rekod kesalahan jenayah lampau.

"Tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila menyita tiga kenderaan bernilai RM98,000.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori," katanya.