Kerajaan rangka pinda akta bantu rakyat diisytihar bankrap

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia sedang merangka cadangan pindaan ke atas Akta 360 bagi membantu rakyat khususnya golongan bankrap yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, matlamat cadangan pindaan ini adalah untuk menambah baik sistem pentadbiran kebankrapan yang sedia ada.

“Ia juga akan memberi penekanan kepada aspek kebajikan bankrap yang benar-benar layak untuk diberi peluang kedua dan menyumbang kepada aliran ekonomi negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanyakan adakah kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Insolvensi bagi mengelakkan lebih ramai individu diisytiharkan muflis khususnya golongan belia di usia muda.

Sementara itu, Azalina berkata, golongan belia berusia 25 ke 34 tahun di negara ini yang diisytiharkan bankrap sepanjang tahun lepas menurun kepada 759 orang, berbanding 1,741 orang pada tahun 2020.

Jelasnya, walaupun jumlah itu menurun, kerajaan sentiasa memberikan perhatian serius tentang isu kebankrapan dan beberapa langkah telah diambil untuk membantu mengurangkan lagi kadar kebankrapan dalam kalangan rakyat.

“Punca utama kebankrapan di negara ini termasuk bagi golongan muda adalah kegagalan membayar balik pinjaman peribadi, hutang kad kredit dan sewa beli kenderaan.

“Bagi mengelakkan lebih ramai individu diisytiharkan bankrap khususnya golongan muda, kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan perkhidmatan penstrukturan

hutang, pendidikan dan khidmat nasihat kewangan secara percuma sebelum seseorang itu diisytiharkan sebagai bankrap oleh mahkamah.

“Program penstrukturan hutang dan khidmat nasihat yang diberikan ini dapat membantu masyarakat termasuk golongan belia untuk mengatur semula keseluruhan hutang dengan pemiutang selain daripada memastikan aliran tunai yang baik di tangan mereka,” katanya.