Kerajaan perketat undang-undang perlindungan pemberi maklumat

Anwar ketika hadir pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika hadir pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti peruntukan undang-undang berkaitan bagi memperketat perlindungan terhadap pemberi maklumat yang melaporkan mengenai rasuah dan kesalahan tatakelola.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan antara fokus utama beliau kerana terdapat ramai pemberi maklumat termasuk penjawat awam berasa tidak selamat untuk melaporkan kes-kes berkenaan kerana mendapat tekanan.

"Cuma ada pandangan daripada pihak perundangan yang menyatakan ini bukan memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk membuat tuduhan palsu ataupun fitnah.

"Jadi dibedakan dengan usaha memberikan fakta dan saya setuju dengan gesaan, dan ini akan kita bentangkan, selewat-lewatnya diharap dalam sesi (Parlimen) akan datang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung komitmen kerajaan dalam meminda peruntukan berkaitan perlindungan pemberi maklumat yang harus dilaksanakan segera seperti disyor Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah sebelum ini. - Bernama

Menjawab soalan asal Lo Sui Fui (GRS-Tawau) mengenai strategi penambahbaikan untuk memastikan penyiasatan kes rasuah mendatangkan impak yang nyata, Anwar berkata tumpuan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini, ialah kes rasuah berskala besar.

"Kerana kalau dulu terlalu banyak masa dan tenaga tumpu untuk menangkap ikan-ikan bilis ini yang tak akan banyak membantu kerana rasuah sudah menjadi sesuatu yang sistemik.

"Saya percaya penumpuan kepada kes skala besar yang telah dan sedang dijalankan akan memastikan bahawa rakyat, penjawat awam dan pimpinan politik bahawa SPRM lebih agresif," katanya.

Menurut Anwar antara kes berskala besar yang disiasat ialah skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), sindiket curi elektrik melibatkan lombong bitcoin, tuntutan palsu dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) dan sindiket pengurangan saman trafik.

Menjawab soalan tambahan Lo berkenaan penggubalan undang-undang berkaitan dana politik, Anwar berkata kerajaan komited untuk meneruskannya, namun ia masih di peringkat awal kerana beberapa laporan perlu diteliti sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. - Bernama