Lelaki Bangladesh menangis ditangkap khalwat

Lelaki warga Bangladesh ditangkap berkhalwat dengan kekasihnya warga Indonesia di sebuah hotel di Melaka Raya, Banda Hilir di sini, awal pagi Selasa.
Lelaki warga Bangladesh ditangkap berkhalwat dengan kekasihnya warga Indonesia di sebuah hotel di Melaka Raya, Banda Hilir di sini, awal pagi Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pelayan restoran menangis selepas ditahan berkhalwat dengan kekasihnya berstatus ibu tunggal di sebuah hotel terkenal di Taman Melaka Raya, Banda Hilir, di sini, awal pagi Selasa.

Lelaki berusia 37 tahun bersama wanita itu yang merupakan warga Indonesia berusia 30 tahun ditahan pada jam 1.35 pagi dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena Sambutan Hari Kekasih.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketika ditahan lelaki itu memberi alasan terpaksa menempah bilik hotel selepas gagal mendapatkan perkhidmatan e-hailing untuk menghantar kekasihnya pulang.

Menurutnya, wanita yang mempunyai dua orang anak dan bekerja sebagai pembantu rumah telah memaklumkan kepada majikannya akan bermalam di rumah kawan.

"Warga Bangladesh itu berkali-kali memohon maaf sambil menangis kerana kesal dengan tindakan yang dilakukan.

"Mereka kemudian dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991," katanya selepas mengetuai operasi tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah.

Jelas beliau, operasi yang berakhir jam 4 pagi itu telah menahan lima pasangan kekasih berusia antara 20 tahun hingga 37 tahun dan kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 53 dan Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

"Turut ditahan seorang pengawal keselamatan berusia 28 tahun kerana berdua-duaan bersama kekasihnya di sebuah hotel terkenal di Ujong Pasir," katanya lagi.