Menu Rahmah tiru Menu Bajet bukan isu - Salahuddin

Salahuddin bersama Fuziah melancarkan Menu Rahmah di Restoran Nasi Kandar Stadium pada Isnin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Salahuddin bersama Fuziah melancarkan Menu Rahmah di Restoran Nasi Kandar Stadium pada Isnin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan inisiatif Menu Rahmah hanyalah pengulangan kepada 'Menu Bajet' semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini bukan suatu isu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia adalah satu usaha untuk membantu rakyat dan mana-mana pihak boleh menggunakan inisiatif tersebut dengan nama yang berbeza.

“Saya tidak menafikan usaha yang telah dilakukan. Baik tetap baik. Saya hanya meneruskan kerja yang baik. Itu tiada masalah. Kami tidak pernah cemburu.

“Walaupun mungkin ada selepas ini orang yang mengambil inisiatif dan tidak menamakannya sebagai Rahmah, tidak mengapa.

“Asalkan perut orang kenyang. Itu hasrat kami daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita semasa Jelajah Menu Rahmah di Restoran Nasi Kandar Stadium di sini pada Isnin.

Jelajah itu turut disertai oleh timbalannya, Senator Fuziah Salleh.

Beliau menambah, pihak kementerian tidak meletakkan sebarang tempoh masa kepada mana-mana pengusaha restoran atau industri untuk melaksanakan hidangan Menu Rahmah.

Ini kerana menurut beliau, inisiatif itu bukan satu paksaan maka terpulang kepada pihak berkenaan untuk menetapkan jangka masa sendiri.

"Terpulang kepada pemain industri. Kalau mereka menganggap ini sebagai suatu yang bukan hanya keuntungan besar, lebih kepada untuk memberikan makanan kepada mereka yang memerlukan.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengusaha yang bersemangat menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah ini kepada rakyat," ujarnya.