Johor dijangka tarik pelaburan baharu RM15 bilion dari Singapura

Onn Hafiz (dua dari kiri) mengadakan pertemuan dengan pelabur dari Singapura ketika mengadakan lawatan rasmi ke republik itu baru-baru ini.
Onn Hafiz (dua dari kiri) mengadakan pertemuan dengan pelabur dari Singapura ketika mengadakan lawatan rasmi ke republik itu baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor dijangka menarik pelaburan baharu bernilai sehingga RM15 bilion dari Singapura hasil lawatan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke republik itu baru-baru ini.

Onn Hafiz memaklumkan lawatan selama tiga hari itu menyaksikan beberapa pertemuan dengan syarikat antarabangsa dilakukan.

Katanya, pelaburan itu juga mampu memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Johor.

"Syukur saya telah memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura, bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan baik antara negara republik itu dengan Johor.

"Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Singapura, termasuklah AirTrunk, sebuah syarikat pusat data skala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun; dan juga syarikat Wilhelmsen, salah satu kumpulan maritim terkemuka di peringkat global. Selain mereka, saya juga telah berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari lain-lain negara.

"Insya-ALLAH, nilai potensi pelaburan yang boleh dicapai hasil pertemuan ini adalah sekitar RM10 bilion ke RM15 bilion ringgit," katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya pada Ahad.

Perbincangan dengan syarikat antarabangsa di Singapura bagi menarik pelabur ke Johor.
Perbincangan dengan syarikat antarabangsa di Singapura bagi menarik pelabur ke Johor.

Tambah Onn Hafiz lagi, kesemua usaha tersebut menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain-pemain industri bertaraf global.

"Insya-ALLAH, selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

"Kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan persekutuan komited untuk menjadi pemudahcara.

"Ia termasuk kemudahan segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehinggalah kepada insentif cukai, bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia," katanya.