Dividen Tabung Haji 2022 dijangka sederhana

Tabung Haji - Foto Bernama
Tabung Haji - Foto Bernama
A
A
A

JANGKAAN agihan keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2022 yang akan diumumkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bergantung kepada strategi pelaburan yang dikelolakan oleh pengurus dana TH sepanjang 2022.

Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai berkata, jika dilihat strategi TH sebelum ini yang agak konservatif, pulangan dividen 2022 dijangka sederhana akibat ketidakstabilan pasaran ekuiti global.

"Memandangkan situasi pasaran kewangan seperti saham yang bergolak disebabkan kenaikan agresif (kadar faedah) oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) sepanjang tahun lepas, ramai kalangan pelabur asing telah 'lari' dan balik semula ke pasaran AS.

"Disebabkan pasaran ekuiti (saham) di AS bergolak dan turun, banyak institusi pelaburan telah mengubah strategi mereka untuk meminimumkan risiko daripada memaksimumkan keuntungan.

"Ini termasuklah TH yang dilihat bersikap konservatif bagi tahun 2022 (laporan kewangan sehingga September), kerana merasakan adalah lebih baik selamatkan modal dan mendapat keuntungan kecil, daripada cuba memaksimumkan keuntungan tetapi mendedahkan risiko modal yang mungkin hilang,” katanya kepada Bernama.

Setakat 30 September, 2022, pecahan aset TH meliputi 60.1 peratus atau RM52.79 bilion adalah pendapatan tetap; hartanah (8.7 peratus atau RM7.63 bilion); ekuiti domestik 16.5 peratus (RM14.51 bilion); ekuiti asing 5.1 peratus (RM4.49 bilion); ekuiti swasta 1.1 peratus (RM974 juta); dan pasaran wang 8.5 peratus (RM7.44 bilion).

Berdasarkan pecahan ini, Barjoyai berpandangan pendapatan TH akan kekal stabil didorong oleh pelaburan pendapatan tetap.

Sementara itu, Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang turut bersetuju dengan pandangan tersebut juga melihat pulangan dividen TH bagi 2022 akan sederhana kerana TH mengamalkan strategi pelaburan yang selamat ekoran ketidaktentuan ekonomi global.

"Umum mengetahui, sekiranya kita mengamalkan pelaburan selamat, pulangannya juga akan sederhana.

"Walau bagaimanapun, saya jangka TH tidak mengamalkan strategi bertahan atau ‘defensif’ ini selama-lamanya. Ia perlu berubah selari dengan keadaan ekonomi dunia,” katanya.

Isu Menara TM

Dalam pada itu, mengenai isu berkaitan Menara TM, beliau berkata, implikasi yang akan dihadapi oleh TH sekiranya keputusan dibuat untuk menjual Menara Telekom Malaysia (TM), Menara TM Semarak dan Wisma TM Taman Desa yang kini hangat dibincangkan, mungkin memberi impak kepada TH sebagai antara institusi yang melabur dalam Sukuk Menara ABS.

Bangunan menara-menara tersebut adalah sebahagian daripada sukuk terbitan ijarah atau dikenali sebagai Sukuk Menara ABS.

Memetik laporan berita, keputusan TM menamatkan sebahagian besar sewaan bangunan di ibu pejabat syarikat itu di Bangsar, Kuala Lumpur dilihat memberi impak kerugian kepada pemegang sukuk Menara ABS.

Difahamkan juga antara pelabur sukuk Menara ABS yang memegang hak undi terbesar ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara pemegang sukuk yang terjejas susulan langkah itu antaranya institusi pelaburan seperti KWSP dan TH, dan ia akan memberi kesan kepada ahli KWSP selain pendeposit TH.

"Penjualan ketiga-tiga ini mungkin bergantung juga kepada keadaan...adakah masanya baik untuk menjual? dan kedua, adakah pulangan modal wajar atau sesuai dengan pelaburan yang telah dibuat?

"Ini kerana pelaburan hartanah ini sememangnya mempunyai potensi keuntungan yang lebih kepada keuntungan modal, dan bukan kepada sewaan,” katanya.

Kenaikan Kos Haji dan Subsidi

Nuradli berkata, berikutan pandemik Covid-19, kenaikan kos yang dikenakan kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan fardu haji sememangnya tidak dapat dielakkan.

Tidak kira sama ada di Malaysia, Indonesia atau negara yang menghantar jemaah haji masing-masing, kos haji telah dinaikkan ekoran kenaikan cukai dan pelbagai caj perkhidmatan.

Bezanya, kos sebenar yang dibayar oleh jemaah haji Malaysia ditampung oleh TH melalui subsidi atau Bantuan Kewangan Haji.

"Kadar kos sebenar haji adalah RM28,632 bagi setiap orang jemaah, namun sebanyak RM10,980 dikenakan bagi golongan B40, dan RM12,980 bagi golongan bukan B40. Di sini, kos sebenar (haji) yang ditanggung oleh B40 hanya 38 peratus, dan bukan B40 membayar 45 peratus.

"TH yang menanggung subsidi tersebut, iaitu melalui keuntungan atau pulangan daripada pelaburan dibuat TH melalui pegangan saham, perladangan dan perniagaan lain,” katanya.

Walau bagaimanapun, keuntungan tersebut juga akan dibahagikan kepada para pendeposit TH selain bertujuan membantu menampung kenaikan kos mengerjakan haji yang semakin meningkat.

Menurut TH, kos haji bagi musim 1443H/2022M adalah RM28,632 bagi setiap orang jemaah berbanding anggaran awal sebanyak RM25,540 manakala kos haji bagi musim 1440H/2019M adalah RM22,900 seorang.

TH menjelaskan sehingga Jun 2022, perbelanjaannya meningkat sebanyak RM134.42 juta kepada RM437.30 juta memandangkan Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh TH.

Cadangan dan Harapan Masa Depan

Melangkah ke hadapan, Barjoyai menjangkakan pasaran saham kembali pulih susulan langkah Fed AS yang mungkin memperlahankan kenaikan kadar faedahnya, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras domestik meningkat semula kepada paras 1,600 hingga 1,700 mata.

Keadaan ini akan dapat mengubah strategi pelaburan TH dengan meningkatkan atau memindahkan pelaburan tetap kepada pelaburan saham, seterusnya memberi pulangan yang lebih baik bagi 2023.

"Bagi jangka masa panjang, saya berpendapat TH juga boleh menambah instrumen pelaburannya dalam sektor hartanah dan kurangkan pelaburan instrumen pendapatan tetap.

"Ini kerana instrumen tersebut mempunyai pulangan yang kecil dan tetap. Jadi, mungkin wujud persoalan, adakah ini instrumen yang sesuai dalam pelaburan Islam?,” katanya.

Bagi Nuradli pula, cabaran yang menanti pengurus dana TH mungkin lebih besar berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global.

Justeru, beliau berharap pengurus dana TH akan terus dapat mencari strategi terbaik dalam mengemudi perjalanan pelaburan TH.

"Saya berharap TH akan dapat terus kekal kukuh sebagai satu mekanisme bagi rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam untuk terus mengekalkan tabungan mereka di dalam TH dan mendapat pulangan atau dividen yang munasabah sebagai pendeposit.

"Saya juga berharap rakyat akan meningkatkan tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan harapan dapat menunaikan Rukun Islam kelima ini, Insya-Allah,” tambah beliau. - Bernama