Komando hilang: Latihan selaman ikut SOP

Adly (tengah) ketika menaiki bot Kevlar menuju ke Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pulau Besar pada Jumaat.
Adly (tengah) ketika menaiki bot Kevlar menuju ke Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pulau Besar pada Jumaat.
A
A
A

JASIN - Kementerian Pertahanan mengesahkan latihan selaman yang dijalankan di Pulau Undan di sini mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, berdasarkan laporan yang diterima kursus yang disertai anggota Tentera Darat daripada Rejimen Gerak Khas (komando), Lans Koperal Edrin Daintin, 25, mengikut SOP termasuk dari segi peralatan.

Beliau berkata, ia bukanlah pertama kali latihan seumpama itu diadakan di kawasan perairan tersebut malah mangsa adalah daripada kumpulan kedua.

Katanya, sebelum insiden terbabit pasukan telah melakukan penyelaman sedalam 60 kaki dan diteruskan pada kedalaman 120 kaki.

"Mangsa (Edrin) bukan dari kumpulan pertama tetapi kumpulan kedua.

"Kumpulan pertama telah selesai melakukan penyelaman latihan itu, jadi SOP itu telah dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Jeti Anjung Batu di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) Mejar Jeneral Nubli Hashim, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Iskandar Ishak dan Pegawai Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli.

Terdahulu, beliau meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pulau Besar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, penilaian dalaman akan dilakukan susulan kemalangan itu bagi membolehkan sebarang penambahbaikan dibuat terhadap sistem dan SOP yang diguna pakai.

Tambah beliau, lokasi latihan itu merupakan kawasan yang sama digunakan bagi latihan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan biasa digunakan untuk tujuan penyelaman.

Bagaimanapun katanya, tidak menolak insiden berlaku dipercayai disebabkan arus yang deras.

"Kalau kita lihat cuaca dan laut tenang tetapi arus di bawah itu mungkin berbeza dari satu keadaan ke satu keadaan yang berkemungkinan insiden itu berlaku," ujarnya lagi.

Jelas beliau, operasi Carilamat itu akan diteruskan dalam beberapa hari lagi dan pencarian turut melibatkan kaedah sonar bagi mengesan sebarang radius yang berkemungkinan menjadi petunjuk keberadaan mangsa.