Komando hilang: Mangsa mungkin hanyut ke perairan Indonesia

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan meneruskan operasi Carilamat anggota tentera yang dikhuatiri lemas.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan meneruskan operasi Carilamat anggota tentera yang dikhuatiri lemas.
A
A
A

MELAKA - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota tentera bertugas di Unit Komando yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di Pulau Undan diteruskan pada hari ketiga pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Iskandar Ishak berkata, operasi yang diteruskan pada jam 7 pagi memfokuskan sektor pencarian mangsa berusia 25 tahun itu meliputi kawasan seluas 1,040 kilometer persegi.

Menurutnya, sebanyak 18 aset telah diatur gerak ke lokasi pencarian terdiri daripada 15 aset laut dan tiga aset udara dengan 175 orang anggota dari pelbagai agensi.

"Kawasan pencarian dipecahkan kepada lapan sektor bagi aset di laut dan dua sektor bagi aset di udara bagi memudahkan kerja-kerja pencarian.

"Pangkalan hadapan carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Pulau Besar dengan penglibatan pelbagai agensi sahabat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC), Putrajaya telah memaklumkan kepada pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia bagi membantu operasi ini.

"Terdapat kemungkinan mangsa telah dihanyutkan ke perairan negara jiran itu berdasarkan data dan maklumat Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS)," katanya lagi.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (komando), Lans Koperal Edrin Baintim dikhuatiri lemas ketika menjalani kursus tersebut di 0.7 Barat Daya Pulau Undan.

Mangsa dipercayai lemas bersama peralatan menyelam semasa menjalani kursus tersebut.

Operasi Carilamat telah diaktifkan pada 5.15 petang pada hari yang sama.