RUU Pendanaan Politik perlu segera dibentang

Saifuddin (kiri) menyerahkan buku dan alat tulis kepada wakil guru Sekolah Menengah Kebangsaan kawasan Parlimen Indera Mahkota di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota, pada Jumaat.
Saifuddin (kiri) menyerahkan buku dan alat tulis kepada wakil guru Sekolah Menengah Kebangsaan kawasan Parlimen Indera Mahkota di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota, pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Usul berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik perlu dibentangkan dalam sidang Parlimen yang dijadualkan bermula pada Isnin ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, usul terbabit dilihat penting dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu berhubung kewangan dan peruntukan parti politik.

Justeru, menurutnya, Akta Pendanaan Politik perlu diwujudkan bagi melihat sumber peruntukan dan kewangan yang diperoleh parti politik.

"Perkara pertama ialah peruntukan parti politik, jadi tak payahlah hendak bising-bising orang ini dapat berapa dan orang ini cari mana. Sekarang ini semua orang tidak tahu siapa dapat duit dari mana dan semua parti cari duit. Jadi mesti ada peraturan untuk menentukan nak dapat duit tu dari mana.

"Perkara yang kedua pula untuk ahli Dewan Rakyat, bagaimana diagihkan, adakah (pengagihan) melibatkan pembangkang atau tak melibatkan pembangkang, kemudian dia punya jumlah itu, adakah berdasarkan perkapita penduduk di kawasan yang mereka (ahli Dewan Rakyat) wakili atau kaedah apa digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas berakhirnya majlis penyerahan buku dan alat tulis kepada guru-guru, staf dan calon-calon SPM dari sekolah-sekolah di Indera Mahkota di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota, pada Jumaat.

RUU berkenaan sepatutnya dibentangkan pada sidang dewan rakyat Oktober tahun lalu, namun ditangguhkan kerana masih belum lengkap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu memerlukan kajian terperinci bagi memastikan mekanisme pelaksanaannya lebih berkesan.

Isu membabitkan sumber kewangan parti politik kembali mendapat perhatian ketika kempen PRU15 yang menyaksikan banyak parti dilihat berbelanja besar.

Antaranya PN yang menyaksikan akaun parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Februari lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, dua akaun parti itu dibekukan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Selain itu, Saifuddin memaklumkan Perikatan Nasional (PN) telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa Portfolio bagi ahli Dewan Rakyat.

Katanya, terdapat 10 portfolio yang terbahagi kepada 26 subportfolio yang membayangi kementerian-kementerian yang ada kini.

"Portfolio ini akan memantau ucapan-ucapan, pengumuman, dasar-dasar, RUU dan program kerajaan termasuk pelaksanaan serta penilaian.

"Namun ia bergantung kepada isu dan keadaan, tapi kami akan membangkang, meminda, menambah baik, menyokong, memurnikan atau bekerjasama, selain itu kami juga akan mencadangkan sesuatu," katanya yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota.