PM cadang Dana Monetari Asia disemak semula

Anwar (kiri) ketika program 'The Future of ASEAN' pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar (kiri) ketika program 'The Future of ASEAN' pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar Dana Monetari Asia (AMF) disemak semula bagi mengukuhkan penampan dalam mendepani krisis ekonomi.

Beliau berkata, rantau ini berpeluang mendapat manfaat besar daripada semakan semula AMF, yang dicadangkan oleh Jepun untuk menangani Krisis Kewangan Asia 1997.

"Infrastruktur antarabangsa kita tidak boleh diputuskan oleh orang luar.

"Kita boleh bekerjasama dengan mereka tetapi kita perlu mempunyai kekuatan domestik, serantau dan Asia kita sendiri, tidak semestinya untuk bersaing tetapi untuk mempunyai zon penampan (menghadapi krisis ekonomi,” katanya dalam ucap tama beliau pada syarahan 'Future of ASEAN', anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.

Anwar mencadangkan agar cadangan AMF yang disemak semula itu memasukkan China, Jepun dan Korea Selatan.

Cadangan AMF oleh Jepun itu bagi menangani Krisis Kewangan Asia 1997 itu tidak pernah diwujudkan susulan bantahan daripada Amerika Syarikat (AS) dan tidak mendapat sokongan dari China.

Sementara itu, Anwar berkata, negara-negara ASEAN perlu saling bekerjasama antara satu sama lain bagi mencapai manfaat ekonomi bersama.

"Negara-negara ASEAN cenderung untuk bersaing antara satu sama lain. Sebagai contoh, dalam industri automotif, Indonesia, Malaysia dan Thailand bersaing untuk mengeluarkan kereta.

"Ini berikutan dasar bersifat perlindungan yang sengit setiap negara pada era 1990an.

"Pendekatan yang lebih baik adalah setiap negara menumpukan kepada satu jenis kenderaan. Sebagai contoh, Malaysia boleh mengeluarkan kereta manakala Indonesia dan Thailand menumpukan kepada bas dan trak,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata agak malang negara-negara di rantau ini terpaksa bergelut dengan masalah China dan Amerika Syarikat.

"Tidak banyak yang boleh kita lakukan, kita hanya perlu pastikan kita terus kekal berdikari semasa melibat urus dengan China dan AS dan meraih manfaat daripada perancangan baharu, fasiliti baharu, bagi membawakan kesan positif kepada sebahagian besar daripada rakyat kita.

"Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN dan semua inisiatif lain yang masih berterusan membawa banyak kejayaan.

"Justeru, kita perlu menggerakkan perdagangan dan pelaburan dengan menggunakan kelebihan perbandingan,” katanya. - Bernama