82 peratus peniaga vape gesa kerajaan laksana peraturan kawal selia

Peniaga vape gesa kerajaan segerakan undang-undang kawal selia.
Peniaga vape gesa kerajaan segerakan undang-undang kawal selia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 82 peratus peniaga vape tempatan mahu kerajaan mengambil langkah segera untuk mengawal selia industri yang telah ditangguhkan sejak 2015.

Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), 95 peratus responden mengatakan bahawa peraturan itu akan menghalang penjualan kepada kanak-kanak.

Sementara itu, sebanyak 75 peratus bersetuju bahawa peraturan akan membantu memastikan produk vape memenuhi standard keselamatan dan kualiti, manakala 70 peratus lagi percaya bahawa peraturan akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menarik pelaburan langsung domestik dan asing.

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, tinjauan pendapat daripada 160 usahawan dan perniagaan vape di seluruh Malaysia itu telah menunjukkan sokongan yang amat menggalakkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan peraturan tersebut.

Beliau berkata, gesaan pengusaha vape itu tidak menghairankan kerana seruan untuk peraturan selalu dibangkitkan di peringkat akar umbi.

“Selain itu, sebahagian besar perniagaan vape telah mengawal selia sendiri dan mematuhi piawaian tertinggi untuk memastikan keselamatan produk.

"Pelaburan yang besar juga telah dibuat untuk memastikan industri terus maju ke hadapan," kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, pemain industri setakat ini masih bimbang kerana belum ada langkah yang diambil untuk memastikan peraturan diperkenalkan.

Katanya, kerajaan perlu melihat pilihan untuk mengawal selia industri vape dengan segera dan bukannya menunggu Akta baharu dibentangkan di Parlimen.

"Ini bagi memastikan aktiviti industri dikawal dengan pantas untuk mengelakkan penjualan produk kepada kanak-kanak dan pada masa yang sama, industri ini dapat terus berkembang sambil menyumbang kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Selain itu, 85 peratus responden juga mengatakan bahawa peraturan tidak boleh terlalu drastik.

Tambahnya, pada tahun lepas, ramai dalam industri menyatakan kebimbangan mereka terhadap cadangan generasi penamat dan menyeru agar kerajaan menyemak dan menilai semula cadangan itu.

Beliau menjelaskan, industri yang dianggarkan bernilai RM2.27 bilion pada 2019 ini berpotensi memainkan peranan penting untuk menyumbang kepada negara kerana industri itu turut menggaji tenaga kerja tempatan dan berkeupayaan memacu pelaburan asing dan domestik.

"Melalui tinjauan pendapat kami, jelas pemain vape terbuka dan bersedia untuk dikawal tanpa peraturan drastik bagi membolehkan mereka terus menyumbang kepada ekonomi,” katanya.