Tular taktik penyamun letak telefon tengah jalan

Gambar tular yang mendakwa kononnya terdapat taktik baharu jenayah samun.
Gambar tular yang mendakwa kononnya terdapat taktik baharu jenayah samun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima laporan berkenaan dakwaan kononnya terdapat taktik baharu jenayah samun.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya telah mengesan penyebaran mesej tular di media sosial yang mendakwa kononnya terdapat taktik baharu penyamun akan meletakkan telefon dalam keadaan lampu menyala di atas jalan raya bagi menarik perhatian mangsa supaya berhenti.

"Mesej itu turut mendakwa mangsa yang berhenti untuk mendapatkan telefon berkenaan, seterusnya akan disamun.

"PDRM mengesahkan bahawa tiada laporan polis diterima mengenai modus operandi sedemikian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan mesej berita palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat.

"Mana-mana pihak yang menyebarkan mesej atau berita palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.