Seleweng duit MAINS: Chegubard beri tempoh seminggu

Chegubard menunjukkan dokumen berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat MAINS pada sidang akhbar diadakan di luar pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Chegubard menunjukkan dokumen berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat MAINS pada sidang akhbar diadakan di luar pejabat SPRM Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin memberi tempoh seminggu kepada semua pihak berkaitan untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Pihak berkenaan termasuk, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Menteri Besar Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Menurutnya, jika tiada penjelasan dalam tempoh tersebut pihaknya akan memohon perkenan mengadap Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk memaklumkan isu tersebut.

"Pertimbangan itu sekiranya kita tengok mereka tiada respon dan penjelasan positif.

"Maksudnya mereka perlu menjawab semua kronologi kita bagi bukan sekadar cakap tiada kes. Kalau tiada penjelasan, kita akan mengadap Tuanku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir di Pejabat SPRM Negeri Sembilan bagi menyerahkan dokumen berkaitan kes berkenaan pada Jumaat.

Ujarnya, Menteri Besar yang turut menjawat jawatan Exco Agama Islam Negeri Sembilan sememangnya telah mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut, namun agak mengecewakan apabila beliau memberitahu tidak tahu kerana telah keluar dari MAINS.

Tambahnya, ia jelas kenyataan lepas tangan atau untuk menyelamat diri.

"Masyarakat seharusnya tahu apa sebenarnya yang berlaku dan SPRM digesa menyiasat dakwaan itu secara serius.

"Wang zakat ini merupakan isu sensitif umat Islam. Penjelasan tuntas diperlukan oleh rakyat Negeri Sembilan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan pula mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan pada 2019, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memberitahu kes itu masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Selain itu, Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir pula mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebar melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Katanya, MAINS telah pun membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit susulan tohmahan dan fitnah yang disebarkan pada tahun 2019.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat yang melibatkan jutaan ringgit.

Pihak terbabit mendakwa SPRM telah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!