Seleweng duit MAINS: Polis buka kertas siasatan pecah amanah

Laporan Sinar harian pada Khamis. Gambar kanan: Ahmad Dzaffir
Laporan Sinar harian pada Khamis. Gambar kanan: Ahmad Dzaffir
A
A
A

SEREMBAN - Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kes tersebut masih dalam siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh salurkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Boleh salurkan maklumat melalui hotline Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan di talian 06-761 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan pula mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan pada 2019, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat yang melibatkan jutaan ringgit.

Pihak terbabit mendakwa SPRM telah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan.

Ia dipercayai disebabkan kerajaan Negeri Sembilan dan orang politik cuba melindungi apa sebenarnya yang berlaku.