Kerajaan tak sewenang-wenang lulus permohonan pekerja asing

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ketika sidang media . - Foto Bernama
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ketika sidang media . - Foto Bernama
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan tidak akan tergesa-gesa meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing ke negara ini menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing walaupun mendapat permintaan tinggi daripada majikan.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, setakat ini, kerajaan telah meluluskan 500,000 kuota kemasukan pekerja asing, namun permohonan kini melebihi had yang ditetapkan.

"Kementerian menerima permohonan yang tinggi khususnya bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan malah sehingga kini masih ada majikan yang memohon.

"Kita akan lihat dahulu perkembangannya sama ada kita luluskan terus seperti yang dimaklumkan dalam tempoh tiga hari, namun kita perlu kawal kerana tidak mahu lebihan tenaga kerja asing seperti yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu tidak lebih 2.4 juta orang," katanya selepas menghadiri majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kali Ke-5 di Dewan Bunga Raya Akademi KTM di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Sivakumar berkata, kerajaan turut berusaha mencari mekanisme terbaik bagi membolehkan majikan berurusan secara terus tanpa melibatkan ejen dalam pengambilan pekerja asing.

"Apabila ada orang tengah memang kos akan melambung tinggi, malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan perkara ini semalam dan menggesa agar majikan tidak gunakan ejen.

"Kerajaan memahami dalam proses pemulihan ekonomi pascapandemik dan kita prihatin dalam isu ini malah seluruh Kabinet sedia maklum tentang masalah yang berbangkit," katanya.

Semalam, Anwar mahu pemantauan dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya pendaftaran pekerja asing dapat dilakukan tanpa menggunakan ejen yang akan melibatkan kos tinggi. - Bernama.