Pemuda sesat ketika mendaki, keluarga harap ada keajaiban

Muhamad Akmal (gambar kecil) dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki Pulau Mawar pada minggu lalu.
Muhamad Akmal (gambar kecil) dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki Pulau Mawar pada minggu lalu.
A
A
A

MERSING - Keluarga pemuda yang dilaporkan hilang dipercayai selepas mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar sejak seminggu lalu, sedih dan masih berharap keajaiban berlaku walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah ditamatkan.

Bapa Ishak Kamis, 58, berkata mereka sekeluarga reda apabila dimaklumkan usaha pencarian menerusi misi SAR bagi mengesan Muhamad Akmal Hakimi, 20, berakhir pada Rabu selepas tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

Beliau bersama anak sulung, Mohd Mirza Khusairi, 25, menyertai operasi SAR bersama anggota penyelamat daripada pelbagai agensi dan malim gunung bermula pada 3 Februari lalu.

"Saya difahamkan operasi mencari sudah dilakukan di seluruh pulau termasuk kawasan perairan, namun tiada sebarang jejak atau kesan ditemui dalam operasi SAR berkenaan.

"Kami sekeluarga sentiasa bersedia dengan apa juga yang berlaku terutama selepas SAR ditamatkan. Tetapi kami tidak akan putus asa berdoa agar Akmal ditemui," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau turut berkongsi keadaan isterinya, Saniah Bidin, 53, yang berada dalam keadaan yang tidak sihat selepas menerima berita kehilangan Akmal yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu.

"Mak cik terpaksa dimasukkan ke Hospital Mersing selepas dua hari SAR kerana sakit dada akibat masih lagi terkejut dan menahan sebak atas berita kehilangan anaknya.

"Sekarang keadaannya semakin baik dan berada di chalet yang kami sewa berdekatan Pulau Mawar. Setakat hari ini keluarga saudara mara masih berada di sini. Mungkin pada Ahad nanti kami sekeluarga akan pulang ke rumah di Kluang," katanya.

Ishak memberitahu, dia sekeluarga akan meneruskan ikhtiar pencarian menerusi perubatan Islam.

"Saya akan teruskan pencarian dengan memanggil ustaz dan mereka yang mahir dalam perubatan Islam ini. Sejak Akmal dilaporkan hilang, sudah lima orang ustaz termasuk dari Kuala Lumpur, membantu menjejak anak saya itu.

"Ada juga yang bantu membuat solat hajat, bacaan Al-Quran dari jauh. Justeru itu, saya mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja yang mahu menjejak Akmal untuk membantu kami," katanya.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah memaklumkan SAR mencari Muhamad Akmal yang dilaporkan hilang di Pulau Mawar dihentikan, setelah mendapati tiada sebarang kesan atau jejak ditemui di sekitar kawasan pencarian.

Sebelum itu, laporan mengenai kehilangan penuntut Universiti Kuala Lumpur ( UniKL) Muhamad Akmal dibuat bapanya di Balai Polis Kluang awal pagi Jumaat lalu, selepas pemuda itu tidak pulang ke rumahnya di Taman Makmur, Kluang sejak 1 Februari lalu.

Polis kemudiannya menerima laporan mengenai penemuan motosikal dipercayai milik mangsa dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira 11.30 pagi, Jumaat lalu dan melancarkan SAR jam 5 petang hari sama.

Operasi SAR membabitkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Daerah Mersing, malim gunung dan penduduk.

Dron dan peralatan pengimejan suhu turut digunakan dalam misi SAR tersebut.