Mydin ketepikan untung rugi demi Menu Rahmah

Ameer Ali Mydin - Foto Rosli Talib
Ameer Ali Mydin - Foto Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mendedahkan bahawa permulaan kepada tercetusnya menu dengan harga di bawah RM5 itu adalah daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman.

Beliau mengakui, perkara tersebut sukar dilakukan pihak restoran berikutan harga bahan mentah seperti ayam, telur dan beras tidak menunjukkan penurunan, sekali gus mempengaruhi harga makanan.

Jelasnya, bukan sahaja harga keperluan tersebut meningkat, malah berdasarkan akta pekerjaan baharu, individu yang menerima upah kurang daripada RM4,000 dibolehkan untuk membuat kerja lebih masa, menjadikan kos operasi semakin bertambah.

"Jadi mustahil untuk restoran-restoran menurunkan harga makanan sedangkan kos sebenarnya semakin meningkat,” katanya dalam Program Temubual Eksklusif yang bertajuk ‘Kenapa Menu Rahmah’ di Twitter Space Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun, Ameer Ali memuji sikap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan menyifatkannya sebagai pendengar yang baik terhadap keluhan nasib rakyat.

“Dalam usaha membantu rakyat, beliau bertanya adakah ada mana-mana restoran yang mahu bekerjasama untuk mengeluarkan satu hidangan iaitu Menu Rahmah yang berharga RM5.

Program Temubual Eksklusif yang bertajuk ‘Kenapa Menu Rahmah’ bersama Ameer Ali dan Dr Malar Santhi
Program Temubual Eksklusif yang bertajuk ‘Kenapa Menu Rahmah’ bersama Ameer Ali dan Dr Malar Santhi

“Mydin tidak mempunyai masalah untuk membuat menu tersebut dan kami akan jual Menu Rahmah dengan harga RM4.90 sahaja, tetapi untung tak untung, rugi tak rugi, asalkan kita boleh bantu rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, satu perjanjian memorandum persefahaman akan dimeterai bersama beberapa persatuan restoran dan kedai makan bermasak seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia dan Persatuan Pengusaha Restoran Tomyam Malaysia bagi menjayakan menu berkenaan.

Utamakan nutrisi

Pada masa sama, Menu Rahmah juga mendapat perhatian dalam industri makanan segera yang mahu mengambil bahagian menyertai inisiatif diperkenalkan kerajaan itu.

Mengulas perkara itu, Ameer Ali menyambut baik inisiatif pihak tersebut dan berpandangan semua orang termasuk industri makanan segera juga perlu melibatkan diri dalam program berkenaan.

“Kita perlu tahu bahawa kebanyakan B40 tidak mampu untuk menikmati makanan segera. Sehinggakan ada di antara mereka yang menanti waktu yang tepat untuk beli ayam goreng, burger untuk anak-anak.

“Biarkan orang ramai memilih apa yang mereka mahukan dan saya tidak nafikan bahawa mereka perlu mendengar kepada nasihat doktor untuk makan makanan yang sihat,” jelasnya.

Bagaimanapun, doktor aktivis, Dr Malar Santhi Santherasegapan berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya industri makanan segera menjadi sebahagian daripada program Menu Rahmah.

“Seperti yang kita tahu, golongan B40 merupakan kumpulan yang kurang makan makanan yang berkhasiat. Isu yang ingin diketengahkan adalah soal kewangan, apabila makan tak cukup dan makan makanan yang tidak sihat, ia menyebabkan kesihatan terjejas dan menambahkan lagi kos untuk mendapatkan ubat-ubatan.

“Bagi saya, Menu Rahmah perlu datang dengan kesedaran kesihatan. Sekiranya industri makanan segera mahu melibatkan diri dalam program ini, mereka perlu menitikberatkan soal kalori, nutrien dan beri makanan segar,” ujarnya.