Pasukan Smart diiktiraf USAR di Asia

Smart merupakan pasukan ketujuh diiktiraf selepas mendapat sijil IEC pada 23 Jun 2016. Foto: FB Nadma
Smart merupakan pasukan ketujuh diiktiraf selepas mendapat sijil IEC pada 23 Jun 2016. Foto: FB Nadma
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya dua negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Singapura yang mempunyai pasukan Heavy Urban Search and Rescue (USAR) bagi menyertai misi bencana di luar negara.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) di bawah pengurusannya menerima pengiktirafan tersebut oleh International Search and Rescue Advisory Group (Insarag) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Nadma berkata, di peringkat Asia pula, Smart merupakan pasukan ketujuh diiktiraf selepas mendapat sijil Insarag External Classification (IEC) pada 23 Jun 2016.

“Di seluruh dunia, hanya terdapat 32 negara yang mempunyai pasukan yang diiktiraf sebagai USAR.

“Pada 3 hingga 5 Februari 2016, pasukan Smart telah menjalani latihan capacity building selama 36 jam bagi menghadapi klasifikasi dari UN-Insarag.

“Sepanjang latihan, pasukan Smart yang diaktifkan di bawah nama kod My Team Relief diuji mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dengan pelbagai fasa sebelum layak diiktiraf,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Ketika ini, pasukan Smart berada di selatan Turkiye bagi membantu usaha SAR mangsa gempa bumi di negeri berkenaan yang telah meragut lebih 9,000 nyawa dan ribuan cedera dalam runtuhan bangunan.