Kerajaan disaran benarkan pengeluaran KWSP secara bersasar

Asyraf (kiri) bersama Zambry (kanan) dan Anwar (tengah).
Asyraf (kiri) bersama Zambry (kanan) dan Anwar (tengah).
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan antara intipati mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada malam Selasa adalah menyentuh tanggungan beban kewangan rakyat menjelang musim persekolahan baharu.

Justeru, beliau menyarankan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar iaitu kepada mana-mana individu yang kurang berkemampuan.

Jelasnya, pengeluaran wang tersebut tidak perlu dilakukan besar-besaran memandangkan kerajaan telah pun mengumumkan bantuan tunai menjelang penggal persekolahan berkenaan.

"Ya, walaupun ada yang sinis bahkan memerli dengan mempertikaikan perjuangan kami waktu kerajaan terdahulu agar dibenarkan pengeluaran KWSP buat kali terakhir sehinggakan kerajaan waktu itu akur dengan tekanan rakyat.

"Namun pada kali ini, pandangan peribadi saya mungkin tidak perlu pengeluaran besar-besaran secara pukal. Memadai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja dan bersasar," kata beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Selain menyentuh perkara berkenaan, mesyuarat tersebut turut memutuskan untuk menubuhkan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti dalam kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, jawatankuasa tersebut adalah Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Dalam pada itu, Asyraf menambah, beliau akan sentiasa membawa suara rakyat meskipun tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO.

"Insya-ALLAH barisan kepimpinan pemuda yang baharu juga akan tetap menjadi #PemudaJurubicaraRakyat," ujarnya.