Sekretariat tetap selaras pertindihan kursus TVET - TPM

Ahmad Zahid pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (MTVET) di Bangunan Perdana Putra, pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Zahid pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (MTVET) di Bangunan Perdana Putra, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan mewujudkan sekretariat tetap bagi menyelaras pertindihan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua peringkat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis TVET (MTVET) Bil 1/2023 pada Selasa, Ahmad Zahid berkata, terdapat kementerian dan jabatan didapati menawarkan kursus sama, selain terdapat pusat TVET yang melahirkan lepasan dengan kebolehpasaran tahap rendah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sekretariat tetap yang akan diwujudkan itu akan melibatkan pihak swasta dan pemain industri bagi menjalinkan kerjasama strategik dengan pusat TVET di seluruh negara.

"Kita minta pemain industri dapat beri latihan kepada pensyarah dan tenaga kerja dalam pusat TVET supaya bersesuaian dengan kemahiran dalam industri," katanya terdapat 1,295 pusat TVET di seluruh negara ketika ini yang menyediakan lebih 6,000 kursus dalam bidang itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan penglibatan serta kerjasama pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diperhebatkan dalam usaha memperkasakan TVET.

Ahmad Zahid berkata, beberapa pusat TVET terpilih akan dijadikan pusat latihan keusahawanan bagi melahirkan lepasan usahawan dalam bidang TVET.

"Mereka dilatih untuk menjadi usahawan dengan pembiayaaan akan dilakukan oleh beberapa institusi kewangan kerajaan atau swasta selepas mereka tamat latihan supaya pemantauan dan penyeliaan dapat dilakukan,” katanya.

Selain itu, katanya, akta baharu atau pindaan akta terhadap latihan TVET perlu dibuat segera supaya ia melibatkan pihak swasta seperti diamalkan oleh beberapa negara maju.

"Swasta atau pemain industri perlu ambil peranan penting kendalikan pusat TVET... kita mahu kurangkan pertindihan kos dan kurangkan kos pengambilan pekerja asing dari luar negara,” katanya.

Ditanya adakah pusat TVET yang akan ditutup kerana melahirkan lepasan dengan kebolehpasaran rendah, beliau berkata, pusat berkenaan tidak akan ditutup sebaliknya kursus baharu dengan kebolehpasaran tinggi akan diperkenalkan.

Antara kursus yang dilihat mempunyai potensi adalah dalam bidang Kecerdasan Buatan, Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan 5G.

"Kursus dalam bidang sebegini harus dijalin erat dengan pengeluar bagi mendapatkan pekerja mahir dalam bidang itu,” katanya tawaran kemasukan ke pusat TVET juga bakal diselaraskan.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan sebanyak 10 Memorandum Perjanjian (MoA) akan ditandatangani dalam tiga bulan ini melibatkan syarikat swasta dan pusat TVET untuk memperkasakan lagi bidang itu.

Antara syarikat yang akan menandatangani MoA itu adalah Petronas, DRB-Hicom dan pusat hospitaliti berkaitan dengan sektor pelancongan dan industri bersesuaian. - Bernama