Tanah runtuh: Dijangka ambil masa enam bulan untuk pulih

Zuridan (kiri) bersama Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin melawat lokasi kejadian tanah runtuh pada Selasa. - Foto Ihsan ADUN Damak
Zuridan (kiri) bersama Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin melawat lokasi kejadian tanah runtuh pada Selasa. - Foto Ihsan ADUN Damak
A
A
A

JERANTUT - Kejadian tanah runtuh di laluan FT64 Seksyen 35.10 Jalan Benta-Jerantut di sini akan memakan masa sehingga enam bulan untuk dibaik pulih.

Laluan tersebut telah ditutup sepenuhnya untuk semua jenis kenderaan bermula Isnin.

Bagi kenderaan berat, boleh melalui laluan alternatif iaitu Jalan Jerantut-Lipis melalui Kerambit manakala kenderaan ringan lain boleh menggunakan laluan alternatif yang telah disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR) di dalam ladang sawit bagi kegunaan penduduk kampung dan urusan kerja harian bagi sementara waktu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud memberitahu, mendapan di laluan itu bermula sejak 22 Januari lalu dan situasi semakin teruk menyebabkan laluan itu ditutup untuk semua kenderaan berat dua hari kemudian.

"Tindakan JKR buat masa ini, pihak terbabit sedang merangka pelan teknikal jalan untuk menentukan bajet dan pelan kerja yang mungkin memakan masa sehingga enam bulan untuk baik pulih laluan terbabit.

"Kita berharap masalah ini segera diatasi demi kemudahan dan keselesaan penduduk berhampiran dan pengguna lain," kata beliau.

Jalan Benta-Jerantut ditutup sepenuhnya untuk semua jenis kenderaan bermula Isnin. - Foto Ihsan ADUN Damak
Jalan Benta-Jerantut ditutup sepenuhnya untuk semua jenis kenderaan bermula Isnin. - Foto Ihsan ADUN Damak

Antara kampung yang terjejas akibat kejadian itu ialah Kampung Batu Balai yang menggunakan laluan itu untuk ke bandar Jerantut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Balai, A. Rahman Othman berharap, laluan alternatif dalam ladang sawit itu dipantau kerana terdapat kenderaan berat turut menggunakan laluan tersebut yang boleh mengundang kerosakan.