Perdaya wanita berkait jualan batu merah delima

Tertuduh (dua kiri) ketika tiba diperkarangan mahkamah pada Selasa.
Tertuduh (dua kiri) ketika tiba diperkarangan mahkamah pada Selasa.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun lapan bulan dan tiga sebatan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana memperdaya seorang wanita warga emas berhubung jualan batu merah delima tahun lalu.

Tertuduh, Salim,44, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh menipu seorang wanita berusia 68 tahun dengan memperdayakannya dan mendorang wanita itu untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM12,500 kepada tertuduh.

Ia bertujuan bagi pembayaran batu merah delima yang tertuduh katakan bernilai tinggi dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang mana dia tidak akan menyerahkan wang tunai itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan itu dilakukan pada 9 Disember tahun lalu jam lebih kurang 10 pagi di tempat letak kereta Pasar Awam Kuala Klawang,Jelebu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukumannya susulan perlu menanggung isteri dan tiga anaknya yang masih bersekolah.

"Saya memohon Yang Arif meringankan hukuman saya dan saya tidak akan ulangi perbuatan ini dan menyesal," katanya dalam nada sebak.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie memohon kepada mahkamah menjatuhkan hukuman tegas keatas tertuduh dengan mengambil kira kerugian besar mangsa dan juga pengajaran kepada orang awam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara dua tahun lapan bulan dari tarikh sabitan dan tiga kali sebatan serta denda RM8,000, jika gagal bayar tujuh bulan penjara.