Kemunculan 'kembali' Anwar di Menara Dato' Onn jadi tumpuan

ANWAR
ANWAR
A
A
A

SELEPAS hampir 25 tahun tidak 'menjejakkan kaki' ke Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn yang menjadi mercu tanda parti Melayu terbesar itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka kembali ke tempat di mana bermulanya karier politik beliau sebelum ini.

Berdasarkan jemputan yang diedarkan kepada pihak media, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijadual menghadiri Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di menara berkenaan pada jam 8.30 malam ini.

Tumpuan seluruh rakyat Malaysia khususnya pihak media pastinya tertumpu kepada lokasi berkenaan apabila satu lagi 'sejarah' dalam politik negara akan dilakar.

Beliau tidak lagi mengunjungi bangunan itu sejak dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 3 September 1998.

Anwar kemudian telah menubuhkan PKR dan berjuang dalam pentas politik negara atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang.

Bagaimanapun, politik negara telah mencipta sejarah apabila PH-BN mencapai kata sepakat bagi membentuk Kerajaan Perpaduan untuk mengembalikan kestabilan dalam negara.

Kerajaan Perpaduan dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri bagi menerajui kerajaan itu.

Sementara itu, umum mengetahui bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memiliki aura dan pengikutnya yang tersendiri.

Selepas dipecat daripada partinya penghujung Januari lalu, masih ramai yang ternanti-nanti akan kemunculannya ke arena politik.

Semalam Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa KJ dilapor menyatakan minat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dan beberapa tawaran telah dibuat kepadanya, termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang.

Perkembangan terbaharu itu bagaikan memberi jawapan kepada penyokong dan pengikutnya yang mengharapkan KJ kembali aktif dalam politik.

KJ turut mengakui beberapa tawaran telah dibuat kepadanya, termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang.

Namun begitu, bekas Menteri Kesihatan itu tidak mendedahkan parti politik mana yang menawarkan jawatan berkenaan.

KJ yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau turut menjelaskan, pengalaman di negeri akan melengkapkan kemahirannya kerana beliau mempunyai pengalaman sebagai bekas ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal dan mengetuai tiga kementerian berbeza sebelum ini.

Beliau dalam masa sama turut tidak bercadang untuk menubuhkan parti baharu di negara ini.

Pada 27 Januari lalu, KJ menjadi antara pemimpin yang dipecat dan digantung keahlian daripada UMNO serta-merta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu, keputusan pemecatan dan penggantungan itu dibuat atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Selepas pemecatan itu, timbul persoalan ke mana hala tuju beliau selepas ini, parti mana yang akan disertainya nanti?

Ternyata, ramai yang masih mengharapkan karisma kepimpinannya dalam arena politik.

Banyak pihak yang menyuarakan keyakinan atas kredibiliti KJ yang disifatkan antara ahli politik yang mempunyai peluang cerah untuk menerajui negara pada masa hadapan.

Benarlah janjinya sebelum ini bahawa beliau tidak akan sesekali tunduk, patah semangat dan kecewa dengan pemecatan itu.

Hanya yang menjadi tanda tanya ketika ini, parti manakah yang berjaya mencuri hatinya untuk kembali beraksi di pentas politik?