Kakitangan sekolah ditahan kemuka tuntutan palsu

SPRM cawangan Batu Pahat menahan seorang kakitangan sekolah di sebuah daerah itu bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000. - Gambar hiasan
SPRM cawangan Batu Pahat menahan seorang kakitangan sekolah di sebuah daerah itu bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Batu Pahat menahan seorang kakitangan sekolah di sebuah daerah itu bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM di sini kira-kira jam 5 petang Isnin selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2021, lelaki itu telah menyediakan dokumen palsu atas nama sebuah syarikat bagi menuntut bayaran berkaitan kerja pembekalan cetakan modul bahan pengajaran dan pembelajaran untuk kegunaan pelajar kepada sekolah tempatnya berkhidmat, sedangkan kerja pembekalan tidak dilaksanakan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk’Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 9 pagi Selasa bagi mendapatkan permohonan reman.