Kajang dihidupkan semula dengan imej baharu

Loy Sian (kanan) menghadiri Pesta Budaya dan Warisan Chap Goh Mei yang berlangsung di tapak parkir Jalan Mendaling.
Loy Sian (kanan) menghadiri Pesta Budaya dan Warisan Chap Goh Mei yang berlangsung di tapak parkir Jalan Mendaling.
A
A
A

KAJANG - Daerah Kajang bakal dihidupkan semula sebagai pusat bandar dengan pemetaan budaya dan promosi pelancongan yang pelbagai agar setanding dengan lokasi tumpuan pelancong di tempat lain.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, ia bagi menarik lebih ramai pengunjung agar Kajang menjadi salah satu daripada produk pelancongan warisan.

Menurutnya, penjenamaan imej baharu bandar itu diharap akan setaraf dengan jenama Petaling Street, Kuala Lumpur, Georgetown, Pulau Pinang dan Jonker Walk di Melaka pada masa depan.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan mengadakan lebih banyak acara pelancongan warisan tahunan sebagai tambahan kepada Pesta Mooncake dan pesta budaya tahunan.

“Kita melihat pentingnya memelihara dan melestarikan tradisi serta warisan kita yang mana terdapat keperluan untuk mengkaji semula dan meremajakan pusat bandar Kajang yang lama.

“Kita perlu menghidupkan kembali kehidupan dan aktiviti di kawasan ini bagi menjadi produk pelancongan warisan yang akan menarik pengunjung ke pusat bandar ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Loy Sian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang turut menghadiri Pesta Budaya dan Warisan Chap Goh Mei yang berlangsung di tapak parkir Jalan Mendaling di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Najmuddin Jemain dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad serta Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.