Kilang proses mi kuning diserbu guna logo halal tak sah

Pegawai KPDN membuat pemeriksaan pada bungkusan mi kuning.
Pegawai KPDN membuat pemeriksaan pada bungkusan mi kuning.
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan sebuah kilang memproses mi kuning di Senawang di sini menggunakan logo halal Malaysia tanpa mendapat perakuan sah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa pada Sabtu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama seminggu pihaknya dengan JHEAINS.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki oleh perniagaan ini telah tamat tempoh pada 31 Ogos 2021.

"Namun begitu, logo halal Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih digunakan pada peket-peket pembungkusan produk keluaran perniagaan ini," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, empat bungkus mi kuning serta dua guni plastik pembungkus produk perniagaan tersebut yang disyaki menggunakan logo halal tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak berkuasa telah disita dengan anggaran nilai rampasan RM111.20.

Jelasnya, tindakan telah diambil di bawah Peraturan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011.

"Bagi pertubuhan yang melakukan kesalahan itu, boleh didenda tidak melebihi RM 200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

"Bagi individu, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi sama ke atas mana-mana pihak yang didapati menggunakan logo halal pada mana-mana produk makanan dan barang-barang tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak berkuasa berwibawa iaitu JAKIM dan JHEAINS.

Sehubungan itu katanya, para peniaga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.