Ten hag bengang insiden kad merah Casemiro

Ten hag tidak puas hati dengan layangan kad merah ke atas Casemiro. -Foto AFP.
Ten hag tidak puas hati dengan layangan kad merah ke atas Casemiro. -Foto AFP.
A
A
A

KEMENANGAN 2-1 Manchester United ke atas Crystal Palace diwarnai insiden pergaduhan dan layangan kad merah ke atas Casemiro dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Ahad.

Insiden itu menimbulkan rasa tidak puas hati pengurus, Erik ten Hag yang menyalahkan pengadil, Andre Marriner dan keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang tidak konsisten selepas pemain tengah itu menjadi satu-satunya pemain yang dibuang padang.

The Red Devils berada di depan dengan dua jaringan menerusi Bruno Fernandes dan Marcus Rashford pada babak kedua.

Bagaimanapun United dipaksa berkampung di laman sendiri pada aksi penuh dramatik di Old Trafford selepas Casemiro diperintah keluar padang sebelum Jeffrey Schlupp menghasilkan gol untuk merapatkan jurang.

Schlupp sebelum itu menolak pemain sayap United, Antony sehingga keluar padang sekali gus mencetuskan pergaduhan membabitkan kedua-dua pemain yang berakhir dengan Casemiro menerima kad merah kerana melakukan keganasan.

Marriner dinasihatkan untuk memeriksa insiden itu melalui VAR bagi menyemak imej Casemiro mencengkam Will Hughes di bahagian leher.

“Permainan ini berintensiti tinggi pada 70 minit pertama sehingga insiden itu berlaku dan kemudian anda melihat pasukan ini berdiri untuk mempertahankan sesama sendiri.

“Saya melihat pemain bergaduh sesama sendiri. Beberapa pemain melintasi garisan dan kemudian seorang pemain dibuang padang. Bagi saya, itu tidak betul,” ujar Ten hag.

Beliau mendakwa bahawa pemain Palace, Jordan Ayew juga sepatutnya dilayangkan kad merah susulan insiden tersebut, namun keputusan tidak konsisten VAR membuatkan Ten Hag tidak berpuas hati.

“Insiden Casemiro anda ulang tayang dan mendapati dia bersalah. Ada seorang lagi pemain yang bertindak lebih teruk daripada Casemiro.

“Anda perlu konsisten dengan VAR. Minggu lalu kami kehilangan Christian Eriksen (yang terpaksa berehat tiga bulan) akibat dikasari. Tiada campur tangan oleh VAR,” katanya.