Malaysia jadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN-GCC

Zambry (kanan) menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di Jakarta hari ini. - Foto Bernama
Zambry (kanan) menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di Jakarta hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Malaysia akan menganjurkan sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada September atau Oktober tahun ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"GCC mengemukakan cadangan kepada ASEAN agar Malaysia menjadi tuan rumah, tarikhnya masih lagi dalam perbincangan,” katanya kepada media Malaysia selepas mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia yang telah dipertanggungjawabkan ASEAN sebagai Sekretariat ASEAN-GCC dan ASEAN-Kanada, akan mewujudkan kerjasama antara rantau ini dengan kedua-dua pihak melalui dialog.

ASEAN dan GCC menjalin hubungan rasmi sejak 1990 manakala hubungan dialog ASEAN-Kanada telah diwujudkan pada Februari 1977.

Zambry yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 dan AMM Retreat di Sekretariat ASEAN, turut mengadakan mesyuarat sampingan dengan rakan sejawat dari Vietnam, Bui Thanh Son dan Timor Leste, Adaljiza Magno untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

"Malaysia menyokong kemasukan negara Timor Leste sebagai negara ASEAN yang ke-11,” katanya.

Menteri-menteri Luar ASEAN semalam mengalu-alukan penyertaan Timor Leste sebagai pemerhati untuk kali pertama pada mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

"Malaysia antara negara yang sangat konsisten sejak kami mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota penuh ASEAN," kata Magno kepada pemberita selepas pertemuan dengan Zambry.

Beliau berkata, penyertaan Timor Leste dalam ACC dan AMM Retreat sebagai pemerhati sebagai batu loncatan untuk menjadi ahli penuh.

Negara ini sedang berusaha memenuhi keperluan berdasarkan garis panduan yang diluluskan oleh negara anggota ASEAN dan juga menyediakan pelan hala tuju untuk menjadi ahli penuh pada masa hadapan.

"Timor Leste mempunyai kerjasama dua hala yang sangat kukuh dengan Malaysia,” kata Magno, sambil menambah bahawa Malaysia membantu membina semula negara ini sejak merdeka terutamanya dalam pembinaan kapasiti dan melatih diplomat. - Bernama