Empat komuniti rentan diupah RM1,200 urus fertigasi terung

Mohammad Amiruddin Rosman, 35, menguruskan fertigasi terung menerusi projek yang dilaksanakan oleh Dapur Infaq Ummah Kuantan.
Mohammad Amiruddin Rosman, 35, menguruskan fertigasi terung menerusi projek yang dilaksanakan oleh Dapur Infaq Ummah Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Empat pekebun daripada komuniti rentan Wong Ah Jang diberi peluang menanam 2,000 polibag terung secara fertigasi bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan secara bulanan.

Projek yang dibangunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah Kuantan itu diuruskan sepenuhnya oleh komuniti gelandangan di atas tanah seluas 0.025 hektar di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah di sini.

Pengasas pertubuhan itu, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, usaha mendekati komuniti yang dahulunya dikenali lokasi gelap kini diterima baik apabila mereka sanggup menjayakan tanaman terung pada Disember lalu.

Menurutnya, mereka ini diberi upah secara bulanan bagi menguruskan 2,000 polibag terung fertigasi sehingga kesemua sayur terbabit habis dituai.

"Empat komuniti rentan ini menerima upah antara RM1,000 hingga RM1,200 sebulan. Jadi mereka akan menguruskan tanaman ini secara sepenuh masa.

"Kadar upah itu diberi ini bersesuaian dan ia juga secara tidak langsung menyuntik semangat kepada untuk terus bekerja, selain dapat memperoleh ilmu dalam bidang pertanian," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Hasil terung dijualnya kepada orang ramai selain peniaga di sekitar daerah ini.
Hasil terung dijualnya kepada orang ramai selain peniaga di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, tanaman terung fertigasi yang kini memasuki musim ketiga tuaian menggunakan khidmat komuniti itu.

Jelasnya, pokok ini baru berusia lebih 90 hari dijangka boleh dituai sehingga April depan.

"Setakat ini, kita sudah menuai lebih 800 kilogram (kg terung) dan dijangka pokok terung ini mengeluarkan sehingga empat tan hasil selepas mencapai tempoh matang.

"Jadi, kita jangkakan akan memperoleh lebih RM24,000 untuk satu musim penanaman terung ini," katanya yang memasarkan hasil terung kepada peniaga di sekitar daerah ini.

Badrul berkata, penanaman terung yang dilaksanakan ini hasil daripada projek rintis iaitu penanaman cili bara pada September tahun lalu.

Katanya, lima golongan rentan yang menguruskan tanaman itu sudah mampu berdikari menyebabkan NGO mahu melahirkan lebih ramai golongan rentan yang berjaya.

Ditanya mengenai perancangan masa akan datang, Badrul berkata, pihaknya sedang memohon tanah wakaf daripada kerajaan Pahang di kawasan Anak Air di sini untuk tujuan pertanian.

"Kita rancang untuk mempelbagaikan tanaman selepas mendapat kelulusan itu. Bila sudah dapat tanah itu, kita dapat membuka peluang pekerjaan kepada peserta yang berminat untuk mengubah sosioekonomi mereka ke arah yang lebih baik," kata beliau.