Kontraktor gagal lapor kematian pekerja bakal kena tindakan

Zamzurin (tengah) bersama wakil syarikat swasta pada majlis Pengumpulan Banner Kempen Tandatangan Komitmen Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara di Pejabat JKKP Perak, semalam.
Zamzurin (tengah) bersama wakil syarikat swasta pada majlis Pengumpulan Banner Kempen Tandatangan Komitmen Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara di Pejabat JKKP Perak, semalam.
A
A
A

IPOH - Sebuah syarikat kontraktor bakal berhadapan tindakan undang-undang oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak selepas gagal melaporkan kejadian maut membabitkan pekerjanya, 5 April lalu.

Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima aduan membabitkan pekerja kontrak warga Indonesia yang maut selepas hampir empat jam menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

"Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 27 tahun itu cedera parah akibat terjatuh dari ketinggian 9.5 meter iaitu dari tingkat 4 ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan jaring pengadang di tepi bangunan tanpa memakai abah-abah keselamatan di Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor.

"Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala akibat hentakan kuat semasa jatuh dan disahkan meninggal dunia pada jam 3.10 petang," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Pengumpulan Banner Kempen Tandatangan Komitmen Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara di Pejabat JKKP Perak di sini, semalam.

Susulan itu, Zamzurin berkata, 16 notis larangan telah dikeluarkan kepada kontraktor serta dilarang menjalankan sebarang kerja sehingga notis berkenaan dipatuhi.

"Kontraktor terbabit gagal melaporkan kepada JKKP seperti yang termaktub di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan mengenai kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan dan penyakit pekerjaan) 2004.

"Tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang enggan memberi kerjasama untuk mempertingkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga digesa untuk menambah baik aspek pengurusan di tapak pembinaan. JKKP akan membuat susulan di tapak kejadian bagi memastikan semua notis dipatuhi.

"Sehingga semalam, terdapat sembilan kes maut yang dilaporkan dan dua kes di sektor pembinaan akibat terjatuh dari tempat tinggi, maut di jalan raya (4), sektor kilang (2) dan satu kes dilaporkan di kuari,” katanya.