Rasional pengurangan peruntukan pembangunan ahli Parlimen

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurangkan peruntukan tahunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta sekali lagi menarik perhatian rakyat.

Menurut Anwar, pengurangan peruntukan yang merangkumi elaun pembangunan itu dilaksanakan secara berperingkat memandangkan faktor kekangan ekonomi yang sedang melanda negara ketika ini.

Jelas beliau, sekiranya terdapat mana-mana Parlimen memerlukan peruntukan tambahan bagi projek infrastruktur melibatkan baik pulih jalan dan parit, ia akan dipertimbangkan.

Tindakannya itu bagaimanapun mendapat kritikan daripada ahli Parlimen pembangkang seperti Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Ujar Rosol, perkara tersebut bakal menjejaskan pembangunan dan kawasan sesebuah tempat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan, pengurangan peruntukan tersebut bukan satu isu kerana pihak pembangkang sememangnya tidak menerima faedah berkenaan.

Jika ditelusuri, keputusan Anwar dalam perkara ini dilihat mempunyai rasional tersendiri.

Dengan pengurangan peruntukan itu, ia berupaya mengimbangi struktur kewangan kerajaan dalam mengimbangi isu utama yang melanda ekonomi negara seperti inflasi.

Peruntukan yang selama ini disalurkan untuk kepentingan kawasan setempat kini boleh dialihkan bagi mewujudkan satu inisiatif baharu terhadap manfaat lebih menyeluruh seperti pemberian bantuan dan juga subsidi.

Ia sama seperti apa yang dilakukan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini apabila beliau mengalihkan peruntukan bagi Perkhidmatan Skypark Link berjumlah sebanyak RM15 juta kepada pemberian subsidi bagi penggunaan komuter melibatkan pelajar sekolah rendah di sekitar Kuala Geris dan Dabong, Kelantan.

Apa pun, segala inisiatif yang dijalankan kerajaan kini diharapkan dapat memberi justifikasi baik kepada rakyat sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.