Tular tanah perkuburan di bawah pencawang elektrik

Tular di media sosial kawasan pencawang elektrik di Kota Kinabalu dijadikan lokasi tanah perkuburan.
Tular di media sosial kawasan pencawang elektrik di Kota Kinabalu dijadikan lokasi tanah perkuburan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti berdekatan dengan pepasangan milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terutama di kawasan pencawang elektrik kerana dibimbangi berlaku risiko renjatan elektrik.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor berkata, sebarang aktiviti di bawah atau berdekatan dengan talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi adalah berbahaya.

"Semua pencawang dan menara talian penghantaran elektrik adalah kawasan yang berisiko terkena renjatan elektrik dan apa juga aktiviti yang dilakukan berhampiran dengannya boleh mengundang bahaya jika mengabaikan faktor keselamatan.

"Perbuatan mengorek lubang di bawah menara penghantaran elektrik milik SESB juga adalah satu pencerobohan dan boleh menjejaskan kestabilan menara tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian susulan tular di media sosial video memaparkan tanah perkuburan di bawah menara talian penghantaran elektrik SESB di sekitar Kota Kinabalu baru-baru ini.

Tambah Idris lagi, antara aktiviti lain yang berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di bawah talian, bermain layang-layang atau penggunaan kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian penghantaran elektrik.

"Begitu juga kegiatan mencuri bekalan elektrik menerusi penyambungan haram dan menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupunberkaitan pasar awam.

"Aktiviti-aktiviti ini boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi, merosakkan harta benda serta boleh maragut nyawa," katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, SESB kini aktif mempergiatkan program kesedaran tentang keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah keselamatan yang boleh diambil di media sosial, akhbar dan radio supaya tahap kesedaran awam semakin meningkat.

"SESB memohon semua pihak agar mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB tentang keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti ingin dilakukan berdekatan dengan pepasangan elektrik milik SESB," katanya.

Sebelum itu, video berdurasi satu minit 44 saat tular di media sosial termasuk WhatsApp dan TikTok yang meminta orang ramai tidak mengebumikan jenazah di kawasan menara elektrik berkenaan bagi mengelak bahaya selain menyukarkan kakitangan SESB melakukan tugasan di kawasan berkenaan.