Sewa tanah pertanian di Cameron Highlands naik 500 peratus

Sebuah kebun sayuran yang belum dapat dituai di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.
Sebuah kebun sayuran yang belum dapat dituai di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan kerajaan Pahang yang menawarkan sewaan tanah dengan kadar kenaikan hampir 500 peratus antara faktor pekebun di Cameron Highlands tidak mahu melabur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang menjelaskan, kadar sewaan tanah diberikan kepada pekebun di kawasan terbabit bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) pada tahun 2020.

Menurutnya, kadar sewaan dikatakan meningkat secara mendadak iaitu dari kira-kira RM800 bagi 0.4 hektar setahun (kadar TOL) hingga RM4,500 pada keluasan sama.

"Dengan kata lain, kadar kenaikan adalah hampir 500 peratus dan amat membebankan para pekebun, selain tempoh sewaan lima tahun yang ditawarkan juga amat singkat.

"Situasi ini tidak dapat memberi keyakinan kepada para pekebun untuk melaburkan masa, tenaga, dan duit yang mencukupi untuk meningkatkan atau memodenkan kaedah pertanian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau bersama Ahli Parlimen dan ADUN daripada Pakatan Harapan (PH)- DAP telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin di Putrajaya.

Pertemuan terbabit bagi memahami secara lebih lanjut visi dan dasar baharu Kementerian serta membincangkan masalah pertanian yang dihadapi oleh setiap kawasan.

Satu memorandum juga telah diserahkan Foong Hin bagi menjelaskan kemelut pertanian di Cameron Highlands dan memohon perhatian, bantuan daripada kerajaan persekutuan agar membantu menyelesaikan masalah pertanian serta merancakkan pembangunan pertanian secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

Foong Hin (kiri) menerima memorandum bagi menjelaskan kemelut pertanian di Cameron Highlands daripada Chi Yang di Putrajaya.
Foong Hin (kiri) menerima memorandum bagi menjelaskan kemelut pertanian di Cameron Highlands daripada Chi Yang di Putrajaya.

Chi Yang menjelaskan, kadar sewaan tanah yang tinggi dan kekurangan sekuriti tanah di Cameron Highlands menyebabkan para pekebun terpaksa menanggung kos yang tinggi dan risiko.

Katanya, disebabkan itu, majoriti pekebun akan merasa khuatir dan tidak berani untuk melaburkan masa dan duit yang mencukupi dalam sektor pertanian.

"Dalam jangka masa panjang, keadaan ini akan menjadikan halangan kritikal terhadap usaha pelbagai pihak untuk meningkatkan tahap dan mutu pertanian negara.

"Ini sekali gus akan menyukarkan pelaksanaan pelan kerajaan untuk meningkatkan tahap sekuriti makanan dan tahap sara diri," ujar beliau.

Selain itu, Chi Yang turut mengemukakan masalah lain yang membelenggu sektor pertanian di Cameron Highlands dan di seluruh Malaysia, termasuk kekurangan tenaga buruh, kos pertanian seperti kos baja serta racun serangga yang semakin meningkat.

Menurutnya, bagaimanapun, kerajaan telah mengumumkan beberapa pelan yang dilihat akan membawa kesan positif terhadap pembangunan sektor pertanian.

Antaranya, Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 2.0 akan dilaksanakan, di mana pekerja asing yang tidak mempunyai dokumentasi yang sempurna boleh membuat bayaran untuk terus menyumbang kepada tenaga kerja di Malaysia.

Tambahnya, malah, Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu juga pernah mengumumkan bahawa proses pengambilan pekerja asing akan dipercepatkan

"Semua langkah ini dijangka membantu mengurangkan masalah kekurangan pekerja asing yang kini membelenggu sektor pertanian dan sektor ekonomi kritikal lain yang merupakan penyumbang ekonomi penting bagi Malaysia," jelas beliau menerusi kenyataan itu.