Pekebun teruskan tindakan semakan kehakiman

Wilson(berdiri) ketika bersama pekebun yang hadir dalam perhimpunan tersebut.
Wilson(berdiri) ketika bersama pekebun yang hadir dalam perhimpunan tersebut.
A
A
A

RAUB - Pekebun durian musang king yang terlibat meneruskan tindakan semakan kehakiman atas alasan bahawa syarat-syarat baharu yang ditawarkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) masih tidak dapat menjamin kepentingan pekebun-pekebun musang king.

Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang memberitahu, resolusi itu dicapai hasil perhimpunan pekebun-pekebun tanpa geran dekat Sungai Ruan di sini pada Khamis.

Menurutnya, pekebun-pekebun tanpa geran terlibat juga telah sebulat suara menolak kertas terma RPDR-PKPP yang mengandungi syarat-syarat yang tetap bersifat eksploitasi.

"Walaupun pihak RPDR-PKPP mendakwa bahawa terma-terma tersebut telah diperbaiki tetapi cadangannya masih mengandungi terma-terma yang bersifat berat sebelah seperti menetapkan harga tetap yang jauh murah daripada pasaran.

"Ia juga memaksa pekebun menjual semua durian kepada kilang RPDP-PKPP yang belum dibina," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Lebih 500 pekebun terlibat hadir dalam perhimpunan itu.Hadir sama, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Pekebun durian musang king di Raub yang hadir dalam perhimpunan tersebut pada Khamis yang turut dihadiri Yu Hui(tiga dari kanan),Tengku Zulpuri (tiga dari kiri) dan Wilson(dua dari kiri).
Pekebun durian musang king di Raub yang hadir dalam perhimpunan tersebut pada Khamis yang turut dihadiri Yu Hui(tiga dari kanan),Tengku Zulpuri (tiga dari kiri) dan Wilson(dua dari kiri).

"Perhimpunan ini bermakna penting memandangkan bilangan kehadiran yang amat besar, ia jelasnya mampu mewakili pandangan dan pendirian pekebun-pekebun tanpa geran yang terjejas oleh skema RPDR-PKPP," ujar beliau.

Tambah Wilson lagi, perhimpunan itu juga memfokuskan kandungan kertas terma terbaharu bertarikh 30 Disember 2022 yang ditawarkan oleh pihak RPDR-PKPP kepada pekebun-pekebun tanpa geran.

Dalam pada itu, Samka berasa amat kesal kerana wakil Royal Pahang Durian Group telah menolak untuk menghadiri perhimpunan tersebut melalui surat rasmi daripada firma peguam.

"Syarikat RPDR-PKPP tidak pernah menganjurkan sesi dialog awam dengan pihak pekebun-pekebun, malahan enggan merebut peluang ini untuk berdialog.

"Ia adalah jelas bahawa syarikat swasta tersebut langsung tidak berniat untuk mencapai solusi menang-menang dengan pekebun-pekebun tetapi hanya berfokus kepada keuntungannya sahaja," jelas beliau.

Ujar Wilson, walau bagaimanapun pekebun-pekebun bersetuju untuk menubuhkan panel rundingan untuk memulakan perbincangan dengan kerajaan negeri mahupun syarikat RPDR-PKPP supaya menyelesaikan kemelut musang king.

"Lanjutan itu, mereka berjaya mencapai resolusi bahawa rundingan tersebut perlu berdasarkan prinsip rakan setara, ini bermakna segala syarat kontrak dan penandatanganan kontrak harus berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

"Tambahan pula, perdagangan bebas perlu dijamin bagi suasana persaingan yang sihat. Aktiviti penjualan durian kepada pihak syarikat haruslah bebas daripada unsur paksaan," kata Wilson.

Sementara itu, beliau memberitahu, pekebun-pekebun juga sudi membayar kadar cukai tanah yang 20 kali lebih daripada kadar cukai yang ditetapkan dalam Warta Negeri Pahang 2019.

"Mereka (pekebun) menawar untuk membayar kos tahunan pemeliharaan alam sekitar untuk mewujudkan industri durian dan persekitaran yang lestari," jelas Wilson.