Maqis rampas limau, keratan bunga segar dari Singapura

Pihak Maqis merampas buah limau dan keratan bunga segar semasa pemeriksaan di Terminal Feri Tanjung Pengelih, Pengerang, pada Khamis
Pihak Maqis merampas buah limau dan keratan bunga segar semasa pemeriksaan di Terminal Feri Tanjung Pengelih, Pengerang, pada Khamis
A
A
A
PENGERANG - Tindakan penumpang dari Singapura cuba membawa masuk 15 kilogram limau dan keratan bunga segar dengan menyembunyikannya dalam beg bagasi pakaian gagal selepas dikesan semasa pemeriksaan di Terminal Feri Tanjung Pengelih di sini pada Khamis.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan mendapati penumpang berkenaan cuba membawa masuk barangan pertanian itu tanpa sebarang dokumen iaitu Permit Import Maqis dan Sijil Fitosanitasi.

"Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan berkenaan pada Khamis.

Pihak Maqis katanya, sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk tersebut bersama pihak kastam bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan.