Banjir di Johor semakin pulih

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat pada Rabu.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Banjir di negeri ini semakin pulih apabila hanya terdapat seramai 977 mangsa yang masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Khamis.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir tu melibatkan 273 buah keluarga dari tiga daerah.

"Jumlah mangsa itu tidak banyak berubah berbanding jam 8 malam tadi iaitu seramai 976 mangsa direkodkan iaitu di dari Batu Pahat, Segamat dan Kota Tinggi.

"Batu Pahat kekal daerah terjejas paling teruk dengan seramai 873 mangsa daripada 247 buah keluarga yang ditempatkan di enam buah PPS dibuka di daerah berkenaan.

"Di Segamat, mangsa banjir yang tinggal hanya 63 orang daripada 20 keluarga di tiga PPS, manakala di Kota Tinggi pula, terdapat seramai 41 orang daripada 6 keluarga di satu PPS," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Azmi memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, di Kulai, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan terdapat satu sungai yang menunjukkan paras air pada tahap bahaya iaitu Sungai Bekok di Batu Pahat," ujarnya.