Treler masuk parit: LUAS kawal tumpahan diesel, hidraulik

Sebuah treler yang terbabit dalam insiden itu pada Khamis.
Sebuah treler yang terbabit dalam insiden itu pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah treler terperosok dalam parit dalam kejadian di kilometer (km) 371.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di susur keluar Slim River, Perak tengah malam pada Khamis.

Kejadian jam 12.40 pagi itu menyebabkan berlaku tumpahnya minyak diesel dan hidraulik daripada kenderaan berat berkenaan.

Exco Alam Sekitar dan Pelancongan, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya menerima maklumat kejadian daripada pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

"Berdasarkan semakan jajaran, bahan cemar tersebut akan memasuki kawasan negeri Selangor (Sungai Bernam) melalui Sungai Trolak di negeri Perak dan berpotensi menyebabkan gangguan kepada LRA (Loji Rawatan Air) Bernam River Headworks (BRH).

"LRA itu berada sekitar 22.7 KM di hilir lokasi kemalangan dengan tempoh masa aliran untuk sampai sekitar 15 jam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Loy Sian, LUAS yang menerima maklumat itu kemudiannya segera ke lokasi bagi bersama-sama membantu pihak berwajib melaksanakan tindakan mitigasi.

Jelas beliau, semakan mendapati terdapat empat daripada lapan tong minyak hidraulik dibawa oleh treler tersebut telah pecah dan diikuti tumpahan minyak diesel daripada treler berkenaan.

Ujarnya, tindakan pencegahan awal telah dilaksanakan oleh pihak PLUS dengan meletakkan habuk kayu di permukaan jalan tumpahan bagi penyerapan minyak.

"Semakan lanjut LUAS mendapati tiada aliran minyak masuk ke longkang lebuh raya dan tiada sebarang aliran tercemar melepasi aliran longkang serta sungai berhampiran," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, PLUS sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan kadar segera.

"LUAS akan terus memantau keadaan di tapak sehingga kerja pembersihan tersebut selesai untuk memastikan tiada kesan susulan pencemaran terhadap sungai dan LRA di negeri Selangor," tambah beliau.