Aplikasi teknologi angkasa kesan tapak pelupusan sampah haram

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengaplikasikan teknologi angkasa bagi mengesan lokasi tapak pelupusan sampah haram dengan tepat di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata setakat ini, sebanyak 86 tapak pelupusan haram berjaya ditutup dan dijangka sasaran penutupan 100 tapak pelupusan sampah haram bagi tempoh 100 hari pentadbirannya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Isu pengurusan sisa pepejal sewajarnya diteliti dengan terperinci dan diselesaikan dengan segera bagi memberi kesejateraan kepada rakyat Malaysia.

"Kegagalan menangani isu ini boleh memberi impak negatif kepada kebersihan di kawasan setempat sehingga menjejaskan kualiti kesihatan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata KPKT turut menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk memperkasa aspek pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan tiada sebarang kegiatan pencerobohan tanah bagi tujuan tapak pelupusan sampah haram.

Selain itu, beliau berkata, sebagai langkah awal KPKT telah menubuhkan sebuah pasukan pertugas khas bagi meneliti secara terperinci semua isu berkaitan pengurusan sisa pepejal agar ia dapat diselesaikan segera secara holistik.

Katanya, beliau telah mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas itu semalam (31 Jan) yang dihadiri pelbagai jabatan dan agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar, MYSA dan SWCorp.

"Penubuhan petugas ini membuktikan KPKT komited melaksanakan segala tindakan ke arah pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan dan efektif.

"Tumpuan kawalan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan di seluruh negara dengan memberikan fokus kepada Selangor sebagai negeri pertama dalam memastikan pelaksanaan usaha ini,” katanya. - Bernama