PGA rampas pelbagai barangan seludup hampir RM4 juta

Majlis Serah Terima Tugas Op Wawasan Kelantan antara Batalion 7 PGA Kuantan, Azhari (kiri) dan Shohaiami (kanan) yang disaksikan oleh Hasan Basri (tengah) di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, Rantau Panjang pada Rabu.
Majlis Serah Terima Tugas Op Wawasan Kelantan antara Batalion 7 PGA Kuantan, Azhari (kiri) dan Shohaiami (kanan) yang disaksikan oleh Hasan Basri (tengah) di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, Rantau Panjang pada Rabu.
A
A
A
KOTA BHARU - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas pelbagai barangan seludup hampir RM4 juta sepanjang penugasan Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Jumlah tersebut melibatkan 90 kes serbuan dan rampasan di atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan terbesar melibatkan kesalahan bawah akta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu sebanyak 26 kes, iaitu RM2.1 juta.

"Kes melibatkan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dilihat terus berlaku.

"Ia melibatkan tangkapan warganegara yang berperanan sebagai pembawa (transporter)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Op Wawasan Kelantan antara Batalion 7 PGA Kuantan dengan Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa yang disaksikan oleh Komander Briged Tenggara, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar yang berlangsung di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, Rantau Panjang.

Serah terima tugas itu melibatkan Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi dengan Superintendan Shohaiami Ismail.

Menurut beliau, faktor peluang pekerjaan dengan bayaran gaji tinggi dilihat sebagai pendorong utama yang menarik minat warga asing terutamanya Myanmar untuk masuk ke negara ini.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki memberitahu petugas Op Wawasan Kelantan turut diingatkan untuk sentiasa menjaga integriti dan keselamatan diri semasa menjalankan tugas di sempadan negara.

Ujarnya, ia ekoran terdapat beberapa insiden penyeludup bertindak agresif dalam usaha melepaskan diri dari ditahan sehingga membahayakan keselamatan petugas.

"Kolaborasi di antara pihak Briged Tenggara PGA dan semua agensi penguat kuasa di sempadan akan terus dipertingkatkan dalam usaha memastikan sempadan negara tidak dibolosi oleh sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan," katanya.