Geng Mirul Dog pecah rumah tumpas

Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar berhubung kejayaan tangkapan dua ahli Geng Mirul Dog di IPD Kuantan pada Rabu.
Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar berhubung kejayaan tangkapan dua ahli Geng Mirul Dog di IPD Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah membabitkan kerugian berjumlah RM100,000 susulan penahanan dua ahli Geng Mirul Dog termasuk ketuanya dalam satu tangkapan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua suspek merupakan buruh binaan masing-masing berusia 32 tahun ditahan dalam satu serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah Kuantan di sebuah rumah di kawasan Balok.

"Kedua-dua suspek ini bergiat aktif melakukan pecah rumah sejak Oktober tahun lalu yang dilaporkan berlaku di kawasan Kampung Pandan, Air Putih, Indera Mahkota dan Beserah.

"Kumpulan ini memilih kediaman yang ditinggalkan tanpa penghuni dan melakukan aktiviti pecah rumah pada waktu siang dengan cara mengumpil pintu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung kejayaan menangkap dua ahli Geng Mirul Dog di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Rabu.

Wan Mohd Zahari memberitah,u sebuah kereta dan peralatan pecah rumah telah dirampas ketika serbuan itu dilakukan.

Jelasnya, siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek telah membawa rampasan barang yang disyaki hasil kegiatan pecah rumah seperti telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan barang perhiasan.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari berkata, seorang warga emas berusia 72 tahun turut ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan terbabit, pada Selasa.

"Warga emas yang merupakan peniaga berperanan sebagai pembeli barangan kemas daripada kedua-dua suspek ini.

"Kedua-dua suspek (ahli Geng Mirul Dog) ditahan reman sehingga 3 Februari ini manakala suspek ketiga dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan," ujarnya yang memaklumkan kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berhubung kesalahan narkotik.

Wan Mohd Zahari berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan berkaitan pecah rumah atau premis manakala suspek ketiga pula disiasat bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar masyarakat memaklumkan kepada pihak polis di balai atau pondok polis yang berdekatan sekiranya ingin meninggalkan rumah dalam tempoh lama.